PETALING JAYA: Penyanyi Nurul Wahab, 35, mula mengedarkan kad 
undangan perkahwinannya bermula Isnin untuk majlis yang  akan 
berlangsung pada 6 Jun depan di Duchess Place, Jalan Ampang, dekat sini.
Majlis tersebut akan diadakan secara sederhana dan dihadiri oleh 
keluarga dan rakan-rakan terdekat termasuklah pihak media dengan jumlah 
tetamu yang terhad.
Nurul dan  bakal suaminya, Eric Daniel Depp, 47, seorang warganegara 
Perancis akan melalui upacara akad nikah kira-kira pukul 11 pagi dan 
bersanding selepas majlis tersebut diikuti dengan jamuan makan tengah 
hari.
mStar Online turut menerima kad jemputan perkahwinan berkenaan yang berwarna hijau pada pagi Isnin dan dihantar sendiri oleh Nurul.
Walaupun kad berwarna hijau lembut tersebut kelihatan sederhana, ia 
cukup melambangkan kasih sayang dan gelora cinta mereka yang disimpul 
utuh.
"Memandangkan tetamu jemputan saya tidaklah terlalu ramai, jadi saya 
mengambil keputusan untuk menghantar sendiri kad tersebut kerana mereka 
yang dijemput itu merupakan orang penting dan rapat dalam hidup saya.
"Bagaimanapun, ada juga beberapa kad yang dihantar oleh pengurus saya
 sendiri, maklumlah, macam-macam perkara yang nak dibuat sebelum hari 
perkahwinan kami," katanya.
Tambah Nurul, dia berharap tetamu yang dijemput itu dapat memberi 
maklum balas dengan segera  dan jika tidak, mereka dikira tidak hadir.
Antara selebriti yang telah mengesahkan untuk menghadiri majlis 
berkenaan  ialah Ning Baizura, Amy Mastura, Misha Omar serta beberapa 
tetamu VIP yang enggan didedahkan nama mereka.
Dalam perkembangan sama, Nurul memberitahu sebanyak enam individu 
telah sudi untuk menaja perkahwinannya nanti iaitu Rizman Ruzaini, Bon 
Zainal, Jakel, Zaha Weeding Planner, Deqsha dan Duchess Place.
Bagaimanapun dia tidak akan mengadakan sebarang majlis resepsi 
sebaliknya keluarga pihak lelaki akan meraikan perkahwinan mereka dalam 
sebuah majlis di Bali, Indonesia pada 14 Jun depan.
Nurul dan Eric mula berkenalan pada September 2010 dan mula serius pada Januari 2011. 

No comments:
Post a Comment