HARI ini, masyarakat di Sabah akan menerima kehadiran empat orang
legenda muzik tanah air untuk mengisi dahaga hiburan kepada penduduk di
negeri tersebut, khususnya di Kota Kinabalu.
Mereka iaitu Datuk Sheila Majid, Amy Search, Jamal Abdillah dan
Zainal Abidin akan menghiburkan peminat mereka dalam siri The Legendary
Concert 2012 - Dulu, Kini Dan Selamanya di Kota Kinabalu bermula pukul 9
malam ini.
Menurut Pengarah Urusan Afro Inang Worldwide, Angelina Asmawi, The
Legendary Concert 2012 - Dulu, Kini Dan Selamanya yang dianjurkan
bersama Research Venture Lab itu mendapat sambutan yang cukup
menggalakkan.
“Kalau melihat penjualan tiket untuk konsert di Kota Kinabalu,
jualannya sangat memberangsangkan terutama menerusi tempahan. Walaupun
konsert ini akan berlangsung di lima venue, tetapi kami lebih fokus
kepada jualan tiket bagi konsert yang pertama.
“Boleh dikatakan peminat yang akan menonton konsert ini bukan dari
Sabah sahaja, malah kami turut menerima tempahan dari Brunei. Apa yang
kami tahu ada ejen di negara tersebut yang menjual tiket konsert beserta
tiket kapal terbang menerusi pakej,” jelasnya ketika ditemui baru-baru
ini.
Menurutnya, tiket-tiket untuk menyaksikan konsert berkenaan dijual
dengan harga RM600, RM300, RM200 dan RM100. Ujarnya juga, tiket-tiket
untuk semua venue konsert iaitu di Pulau Pinang (19 Mei), Johor Bahru
(26 Mei), Kuching (23 Jun) dan Kuala Lumpur (30 Jun) sudah mula dijual
dan promosi giat dijalankan di radio.
“Buat masa ini kami akan memberikan tumpuan terhadap konsert yang
akan berlangsung di Kota Kinabalu terlebih dahulu. Saya yakin konsert
ini mendapat sambutan hangat dan dinantikan ramai peminat kerana ia
menampilkan empat orang penyanyi bertaraf legenda,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Amy Search yang berkesempatan hadir ke Kota Kinabalu
dan Tawau, dua minggu lalu untuk mempromosikan konsert tersebut berharap
konsert yang membariskan empat nama besar dalam industri hiburan itu
akan mendapat sambutan baik.
Malah melalui respons yang diperoleh sewaktu beliau melakukan
promosi, ramai peminat yang tidak sabar untuk menyaksikan mereka beraksi
memandangkan Amy, Sheila Majid, Zainal Abidin dan Jamal Abdillah tidak
pernah bergabung dalam sebuah konsert sebelum ini.
“Kami mahu memberi hiburan yang terbaik buat peminat di Sabah,” ujar
Amy yang memberitahu setiap penyanyi akan tampil untuk durasi 40 minit
dalam setiap slot persembahan mereka.
No comments:
Post a Comment