Sheila Majid masih memukau |
TERBAIK! Itu yang dapat diungkapkan apabila empat penyanyi legenda bersatu dalam satu konsert yang cukup mengujakan dan bertenaga.
Berlangsung di Dewan Besar Universiti Malaysia Sabah baru-baru ini, kehebatan Raja Pop, Jamal Abdillah, Ratu Jazz, Datuk Sheila Majid, Raja Rock, Amy Search serta Zainal Abidin tidak dapat dipertikaikan lagi.
Bijak menggunakan segala pengalaman lebih 30 tahun dalam industri muzik negara, aura setiap legenda tersebut sentiasa membahagi segenap sudut dewan terbabit dengan sistem audio yang cukup berkesan.
Memulakan persembahan, Jamal Abdillah tampil dengan gimik sedutan filem Azura bagi mengembalikan kenangan pembikinan filem terbabit yang pernah dijalankan sekitar Kota Kinabalu dan Likas.
Gemersik suaranya melalui lagu seperti Azura, Ghazal untuk Rabiah dan Kekasih Awal dan Akhir serta Seniman Menangis mencairkan hati para penonton yang hadir terutama golongan wanita.
Kehadiran Ratu Jazz selepas itu cukup memberikan impak terhadap kelangsungan siri konsert legenda terbabit apabila bijak berinteraksi dengan audiens.
4 Lagenda bertemu |
Kesinambungan konsert diteruskan dengan Zainal menerusi alunan lagu popular ketika bersama kumpulan Headwind seperti Suraya dan Memori Luka sebelum meneruskannya dengan koleksi lagu seperti Khayalan, Kamu dan Hijau.
Kehadiran Amy Search di atas pentas pada penghujung persembahan konsert cukup menggamit minat penonton. Dengan tenaga dan lontaran suara ketika menarik suara yang tinggi mengakibatkan sinar konsert tersebut terus berkilau.
Ia dibuktikan melalui lagu-lagu seperti Kepala Sotong, Tiada Lagi, Kerja Gila dan Pawana membuatkan namanya sering dipanggil oleh mereka yang hadir.
Biarpun kehadiran penonton hanya mencecah separuh dewan menerusi penjualan tiket daripada RM100, RM200, RM300, RM600 namun keempat-empat legenda berpendapat, objektif utama mereka telah tercapai melalui kepuasan yang diperoleh penonton.
Zainal Abidin berkata, apa yang ditekan adalah mengembalikan semula nostalgia konsert berbayar yang semakin dilupakan apabila kini kebanyakan lebih bersifat percuma.
“Apa yang kita berikan adalah terbaik sesuai dengan bayaran yang dikenakan. Apabila mereka balik, mereka balik dengan kepuasan tidak terhingga.
“Situasi itu dapat lihat pada malam ini apabila mereka sentiasa bersama-sama dengan kami dalam setiap lagu yang dinyanyikan,” katanya.
Ujarnya, penganjuran tersebut juga bukan bersifat persaingan sebaliknya lebih dalam menggabungkan empat genre berbeza yang dimiliki oleh mereka dalam satu pentas konsert yang sama.
Kenyataan itu disokong Jamal yang sudah menanti 33 tahun untuk bergabung dengan para legenda muzik tanah air yang lain di konsert yang sama.
“Setiap daripada kami mempunyai kekuatan dan keunikan yang berbeza tetapi motif sama iaitu memberikan persembahan terbaik untuk peminat,” katanya.
Selepas ini, konsert legenda tersebut akan menggegarkan Pulau Pinang pada 19 Mei, Johor Bahru (26 Mei) dan berakhir di Kuala Lumpur (30 Jun).
No comments:
Post a Comment