SUDAH lama tidak mendengar khabar aktres cantik Vanidah Imran, 39, 
selepas dia tidak lagi terikat dengan program Nona. Wajah pelakon itu 
juga tidak banyak menghiasi drama mahupun filem. Jika adapun sekadar 
beberapa drama seperti drama 7 Gerhana arahan Hans Isaac  dan juga filem
 Misteri Jalan Lama arahan Afdlin Shauki. 
Bertemu dengan Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-21 
(2008) itu pada majlis pelancaran projek Inspirasi Selebriti bersama 
Macy di Pusat Beli-Belah Citta, Kosmo! menemubual Vanida yang lebih 
mesra disapa Vee itu sekali gus mengetahui keluh resah pelakon itu 
terhadap dunia seni dan juga kegembiraannya menyambung kembali 
pelajarannya yang sekian lama tergendala.
Boleh kongsi apakah perkembangan Vanidah dalam dunia seni sekarang?
Saya baru sahaja habis penggambaran drama Tanah Kubur terbitan Astro 
Oasis. Saya menjayakan satu episod untuk drama itu iaitu Susuk. Selain 
drama, saya juga akan muncul untuk filem Untuk Tiga Hari arahan Afdlin 
Shauki pada September depan. 
Sekali lagi anda berlakon di bawah arahan Afdlin. Kenapa Afdlin, tetapi tidak pengarah lain?
Saya selesa dengan arahan Afdlin begitu juga Hans Isaac. Bukan 
bermaksud saya tidak selesa dengan pengarah lain tetapi Afdlin dan Hans 
kerap menawarkan saya watak yang mencabar. Afdlin dan Hans bukan sahaja 
faham dari segi jadual saya tetapi mereka tidak pernah cakap saya sudah 
tua untuk membawa watak cinta. Filem Untuk Tiga Hari, saya akan berlakon
 di samping suami, Rashidi dan membawakan watak hero dan heroin yang 
bercinta.
Seperti kedengarannya anda kecewa dengan pengarah lain?
Pemikiran orang Asia tidak sama seperti di Hollywood yang mana mereka
 lagi menghargai pelakon yang lebih berumur. Sebagai contoh, Datuk 
Michelle Yeoh yang membawakan watak heroin dalam filem The Lady. Kenapa 
dia dipilih? Kerana pengalaman dan kehebatannya dalam lakonan. 
Kebanyakan pengarah kita pula lebih gemar mengambil muka-muka baharu 
untuk menjadi hero dan heroin. Tetapi saya kena faham penerbit buat 
filem untuk duit. Pasaran filem Malaysia juga kecil, tidak seperti di 
Indonesia.  
Sudah berapa lama anda berlakon dan sampai bilakah anda rasa akan meneruskan bidang lakonan ini?
Kebelakangan ini, saya sudah tidak terlalu tumpu kepada bidang 
lakonan. Apa yang penting sekarang adalah keluarga dan pelajaran saya. 
Saya terpaksa mengehadkan aktiviti seni kerana ingin memberikan tumpuan 
lebih kepada pengajian saya  di Universiti Terbuka Malaysia. 
Kenapa anda mengambil keputusan untuk menyambung pelajaran?
Saya perlu meningkatkan potensi diri demi masa depan anak-anak. Masa 
muda dahulu, tidak mahu belajar sekarang baru terhegeh-hegeh hendak 
sambung belajar. Saya juga mahu anak-anak saya iaitu Mikail Aimran, 8, 
dan Mariyam Rashika, 7, yang sedang membesar mencontohi dan berbangga 
dengan pencapaian saya. Malah, suami saya Rashidi juga sudah memiliki 
segulung Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dari Universiti Pertanian 
Malaysia (UPM).

No comments:
Post a Comment