Tuesday, June 19, 2012

Mizz Nina Sedia Mengandung Pada Tahun Depan

KUALA LUMPUR: Penyanyi Mizz Nina berkata dia sudah berkeinginan untuk bergelar ibu dan berhasrat mengandung bermula pada awal tahun depan.
Mizz Nina atau nama sebenarnya Shazrina Azman, 32, berkata tahun 2013 adalah waktu terbaik untuk dia memberikan tumpuan kepada urusan membina keluarga selepas setahun mendirikan rumah bersama vokalis kumpulan Hujan iaitu Noh Salleh, 28.
“Selepas hampir setahun berkahwin kini saya baru benar-benar bersedia untuk bergelar ibu. Jika diizinkan, saya mahu mendapatkan anak pada tahun depan.
“Lagipun umur saya pun akan mencecah 33 tahun pada 2013, jadi saya rasa tahun depan adalah waktu terbaik untuk saya dan Noh membina keluarga,” katanya ketika ditemui mStar Online, baru-baru ini.
Pasangan itu dinikahkan oleh bapa Mizz Nina, Tan Sri Azman Hashim pada 1 Julai tahun lalu di kediaman keluarganya di Ukay Heights, Ampang dekat sini.
Penyanyi lagu Take Over itu berkata, walaupun dia sering diajukan pertanyaan mengenai isu anak di kalangan media dan peminat, ia tidak memberikan tekanan kerana dia tidak pernah didesak oleh keluarga untuk segera mendapatkan zuriat.
“Sebenarnya tiada apa yang perlu dikejar atau terburu-buru dalam soal memiliki anak. Bapa dan keluarga saya sudah mempunyai 10 orang cucu jadi soal mahu segera mendapatkan anak tidak menjadi tekanan kepada saya.
“Cuma mungkin Noh yang kadang-kadang meminta kami segera dapat anak. Saya jelaskan padanya, biar semua hal kerja diselesaikan dulu pada tahun ini agar kami boleh tumpukan pada keluarga pada tahun depan,” kongsinya.
Mengenai perkembangan kerjaya, Mizz Nina berkata dia sedang giat membuat persiapan untuk siri jelajah Asia pada hujung tahun ini bersempena promosi album keduanya, Take Over yang dilancarkan pada bulan lalu.
“Saya sedang sibuk dengan persiapan dan kertas kerja untuk siri jelajah bagi mempromosikan album Take Over di sekitar Asia pada hujung tahun ini.
“Berkemungkinan saya akan ke Singapura, Thailand, Jakarta, Indonesia dan Jepun kerana terdapat permintaan dari sana. Semuanya masih dalam proses perbincangan, Insya-Allah apabila sudah sah nanti saya akan maklumkan kepada khalayak,” katanya mengakhiri perbualan.

No comments:

Post a Comment