Setelah agak lama berteka-teki mengenai status hubungan pelakon Hanez
Suraya dengan penyanyi Awi Rafael, akhirnya ia terbongkar jua. Mereka
berdua memilih untuk tidak berahsia lagi tentang cinta yang telah
bertaut.
Hanez, 27, yang sebelum ini menafikan status perhubungan mereka yang
sudah terjalin selama tiga bulan, akhirnya bertindak terbuka dengan
mendedahkan status yang sebenar.
Perkenalan mereka bermula ketika pengurus Awi menghubunginya untuk
mempelawa menjadi model klip video untuk single terbaharunya, Asalkan
Aku OK.
Kosmo! menemu bual Hanez pada majlis makan malam istimewa bersama
pelakon 3 Janji di Luna Bar, Pacific Regency Hotel, Kuala Lumpur.
Selain bercakap tentang hubungan cinta mereka, Hanez turut memberi
sedikit kenyataan tentang penyebaran gambar lama kekasihnya itu yang
disifatkan agak liar.
Kosmo!: Kenapa sebelum ini Hanez menafikan mengenai status hubungan ini?
HANEZ: Sebelum ini saya bukan ingin menyorok mengenai hubungan ini.
Saya mahu dia bersuara dahulu kepada rakan media perhubungan ini kerana
sebagai wanita, saya rasa biarlah pihak lelaki yang bersuara dahulu.
Apa sifat Awi yang membuatkan anda menyukainya?
Pada mulanya, saya tidak menyukai dia kerana saya menyangka dia
seorang yang ‘poyo’. Saya hanya meminati lagu dendangannya, Bila Aku
Jatuh Cinta. Namun bila sudah mula mengenalinya, barulah saya tahu
bahawa dia seorang yang suka mengambil berat, menghormati orang lain dan
bertanggungjawab. Saya senang bersama dengannya.
Adakah Awi dapat memahami kerjaya anda sebagai seorang pelakon?
Buat masa sekarang ini, dia sedang membiasakan diri dengan waktu
kerja saya. Kadangkala kami ada berselisih faham mengenai waktu kerja
yang berbeza. Walaubagaimanapun, dia sentiasa menyokong kerjaya saya dan
saya sentiasa menyokong kerjayanya.
Anda berdua selalu meluangkan masa bersama?
Bergantung kepada waktu bekerja, sekiranya ada masa terluang kami
akan menghabiskan masa bersama. Keluarga pun mengetahui hubungan kami.
Jadi tiada masalah untuk kami keluar bersama.
Komen sikit mengenai aksi mesra anda dan pelakon sinetron popular
Indonesia, Randy Pangalila dalam drama bersiri Dalam Hati Ada Taman. Apa
reaksi Awi mengenai itu?
Babak cium itu sebenarnya hanya lakonan dan dibuat dengan menggunakan
teknik lakonan dan kamera. Ianya bukan aksi sebenar. Dia menerimanya
dengan hati terbuka dan asalkan itu hanya untuk tuntutan kerja. Dia juga
sentiasa pesan supaya saya pandai menjaga diri dan sebagai wanita perlu
tahu batas-batas pergaulan.
Baru-baru ini tersebar gambar Awi yang bertatu dan kehidupan liar dia
bersama beberapa wanita. Bagaimana anda melihat isu tersebut?
Jujurnya, saya dan keluarga menerima dia seadanya. Lagipun itu
merupakan gambar dan kehidupan lampau dia. Sebagai manusia kita semua
ada membuat kesilapan pada masa lalu.
Apa perkembangan terbaharu anda?
Saya telah terbabit drama Suri bermula 11 Jun lalu menerusi slot
Azalea di TV3. Dalam drama tersebut saya membawa watak seorang yang
sangat daif. Kemudian saya akan memulakan penggambaran drama di bawah
produksi Brand Management Group (BMG).
No comments:
Post a Comment