PERCINTAAN Remy Ishak dan Tiz Zaqyah sudah lama berada di mata
peminat, namun sudah beberapa kali hubungan pasangan pelakon itu didakwa
retak menanti belah. Sejak mereka secara terbuka mengakui sedang
menjalin cinta, semakin banyak khabar angin tentang konflik yang mereka
alami.
Selesai dengan sandiwara kurang diberi perhatian seperti mana yang
diharapkan ketika di tahan di wad hospital gara-gara masalah kesihatan
baru-baru ini, hubungan Remy dan Tiz kembali memanas. Sebuah akhbar
mingguan bukan Kumpulan Utusan melaporkan bahawa hubungan mereka berdua
seolah-olah di ambang kemusnahan.
Sikap panas baran Remy sebagaimana yang pernah dilakukan terhadap
kekasih lamanya dahulu seperti kembali berulang apabila dia didakwa
menampar muka Tiz. Tidak habis dengan dakwaan sebagai kaki pukul,
pelakon filem Aku, Kau & Dia itu juga dikatakan pernah beberapa kali
didakwa menghempas telefon bimbit milik kekasihnya.
Sehari kemudian, Remy menafikan tuduhan berkenaan sebaik ditemui
semasa tayangan eksklusif filem terbaharunya, 29 Februari, Isnin lalu.
"Sebelum sempat baca gosip berkenaan, Tiz yang menghubungi saya
bercerita tentang apa yang tertulis. Mulanya saya malas hendak melayan.
Sudah letih dengan satu persatu dakwaan seolah-olah tidak senang dengan
kebahagiaan dan situasi hubungan kami berdua," ujarnya yang dihubungi
semula Sensasi Bintang, Jumaat lalu untuk penjelasan lanjut.
Tanpa perlu menyembunyikan keadaan, ketika itu Remy mengakui dia sedang membawa Tiz keluar untuk membeli beberapa barangan.
SENSASI BINTANG: Apa reaksi anda terhadap tuduhan panas baran, belasah dan hempas telefon Tiz ?
REMY ISHAK: Kalau ikutkan hati saya, saya memang malas nak layan
cerita mengarut. Saya sudah malas hendak melenting atau melatah. Lagipun
sebelum ini, ramai yang nasihatkan saya supaya jangan buat serangan
balas secara melulu. Secara peribadi, saya sudah boleh terima apa itu
gosip, tapi bagaimana dengan keluarga, peminat dan pihak luar seperti
pihak korporat yang ada kerjasama dengan saya. Bila saya fikir ia
melibatkan maruah dan imej saya, rasanya perkara itu perlukan penjelasan
dan saya harap penjelasan saya kepada wartawan hari ini akan
membersihkan keadaan. Kalau sampai pukul dan hempas telefon, kenapa
sampai hari ini kami masih boleh keluar bersama.
Reaksi Tiz pula bagaimana?
Dia mahu saya beri penjelasan dan agar spekulasi itu tidak terus
diperkatakan. Dia tuan punya badan yang didakwa disakiti, saya nampak
dia sedikit melenting dengan cerita yang dikeluarkan.
Anda tak rasa mahu mencari siapa pembawa fitnah itu?
Kalau dilayan sangat, benda-benda begitu boleh buat saya dan Tiz
sakit kepala. Banyak lagi masalah hidup, jadual, promosi dan kerja lain
yang perlu saya lakukan. Harap dengan penjelasan ini, peminat boleh
terima dan faham situasi kami. Saya anggap itu semua cabaran untuk saya
jadi lebih kuat. Dalam proses untuk fasa karier dan hidup yang
seterusnya, memang tak semua orang suka dan gembira tengok pencapaian
kita, mungkin ada yang suka tengok kami jatuh.
Di sebalik cerita panas, sokongan peminat terhadap anda tidak
membantu kejayaan jualan sesebuah filem seperti Jiwa Taiko dan Aku, Kau
& Dia, mengapa ini terjadi?
Perkara itu antara perkata yang jadi topik perbincangan kami dalam
industri. Secara peribadi, saya tidak nampak aura seseorang pelakon itu
satu-satunya tarikan peminat untuk tengok filem di pawagam, cerita filem
itu sendiri harus kuat dan beri impak. Sekarang, susah untuk orang
filem buat jangkaan filem bagaimana dan pelakon mana yang penonton mahu
lihat di pawagam.
Maknanya, sehebat mana seseorang pelakon, itu bukan jaminan peminat mahu lihat mereka di panggung?
Saya setuju. Kadang-kadang ia seperti bermusim.
Bagaimana pula dengan 29 Februari yang akan ditayangkan 30 Ogos
depan, adakah anda yakin ia sebuah filem lakonan anda yang wajib
ditonton?
Dari segi karakter, cerita dan penceritaan, saya yakin 29 Februari
menjanjikan kelainan. Watak Budi itu sendiri sangat unik. Ia satu watak
yang tak mungkin saya peroleh lagi atau pernah saya lakonkan dalam
mana-mana filem. Untuk penonton yang selalu mengharapkan sesuatu
daripada sebuah filem Melayu, saya rasa 29 Februari harus ditonton.
No comments:
Post a Comment