KUALA LUMPUR: Bekas isteri penyanyi popular Hattan menfailkan 
saman bagi menuntut ganti rugi RM1 juta terhadap pemilik blog hiburan Oh
 Bulan! kerana menyiarkan artikel fitnah mengenainya.
Noorfarashikin Othman, 32, seorang peniaga, menfailkan saman itu di 
pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi, pada 3 Julai lalu melalui Tetuan 
Ranjit Singh & Yeoh dengan menamakan Driven Communications Sdn Bhd 
sebagai defendan.
Noorfarashikin bercerai dengan Hattan atau nama sebenarnya Datuk Mohd Shukri Sahabuddin selepas dua bulan berkahwin.
Hari ini kes saman itu ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Nor Bee Ariffin.
Peguam Nizam Bashir yang mewakili Noorfarashikin memberitahu media 
bahawa mahkamah menetapkan 10 Ogos ini bagi defendan menfailkan 
pembelaan dan juga pengurusan kes.
Dalam pernyataan tuntutannya, wanita itu antara lain memohon ganti 
rugi am berjumlah RM1 juta, ganti rugi khas, teruk, teladan dan 
lain-lain relif yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Noorfarashikin mendakwa pada Januari lepas defendan melalaui laman web www.ohbulan.com telah menerbitkan satu artikel.
Beliau berkata artikel itu antara lain bermaksud beliau merupakan 
seorang yang curang, tidak boleh dipercayai dan isteri yang tidak setia.
Wanita itu berkata reputasi peribadi dan profesionalnya telah rosak 
dan beliau mengalami kesedihan, rasa malu dan tersinggung perasaan 
akibat penyiaran artikel itu.
Terdahulu, Hattan dan Farah Asyikin, 34, bercerai talak satu di 
Mahkamah Rendah Syariah Kuala Pilah pada 12 januari lalu selepas 
disatukan pada 11 November 2011 di kediaman penyanyi tersebut di Seri 
Menanti. - BERNAMA

No comments:
Post a Comment