ENTAH kenapa ada sesuatu yang pelik dengan tingkah laku pelakon
berbakat Zarina Zainoordin ketika menghadiri sesi fotografi bersama Kosmo! berlangsung di Studio Utusan, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Dia seolah-olah tidak dapat memfokuskan diri apabila jurufoto Nooradzrene Mohd. Noor cuba merakamkan gambarnya.
Sikapnya juga tidak keruan seperti mana kebiasaan sebelum ini. Malah,
sikap tidak keruan itu boleh dilihat jelas dalam foto-foto yang
dirakamkan itu.
Selesai sahaja sesi fotografi, perkara itu diajukan kepadanya. Apakah
punca yang membuat tingkah laku Zarina menjadi sedemikian rupa?
"Karakter Zila dalam drama, Ameera sangat berat untuk saya
pikul. Bayangkan selama dua bulan, saya perlu kekal membawa watak wanita
psiko, meroyan dan penuh dengan tekanan perasaan apabila diminta
menyerahkan bayi kepada pasangan yang tidak boleh mendapatkan anak.
"Disebabkan sudah lama menghayati watak tersebut, saya sampai
terbawa-bawa ke luar lokasi," luah Zarina memberikan jawapan terhadap
persoalan mengenai sikap pelik dirinya itu.
Bercerita mengenai watak lakonannya itu, kata Zarina, Zila pada asalnya merupakan seorang wanita baik.
"Dia merupakan gadis kampung yang kemudian dilacurkan oleh kekasihnya
dan akhirnya dapat melarikan diri sebelum bertemu dengan Ameera,
lakonan Rita Rudaini.
"Sejak itu, Zila membuat perjanjian dengan Ameera untuk berkahwin
dengan suaminya, Ameer dan melahirkan anak untuk pasangan itu sebelum
diceraikan dengan upah RM360,000. Namun, setelah mengandung, Zila mulai
menyayangi suami Ameera dan juga bayi dalam kandungannya itu.
"Malangnya suami Ameera tidak membalas cintanya. Disebabkan itu, dia
mula berubah menjadi wanita jahat dan psiko sehingga mengugut untuk
membunuh kandungan jika Ameer tidak mencintainya. Ada banyak emosi yang
berat dalam watak ini membuatkan saya terbawa-bawa hingga ke dalam
kehidupan realiti," ujarnya.
Namun, bukan watak Zila sahaja yang membuatkan diri Zarina dlilanda
tekanan. Luah Zarina lagi, dia juga sangat tertekan apabila bapanya,
Zainoordin Abd. Rahman diserang penyakit tiga serangkai iaitu kencing
manis, darah tinggi dan jantung.
Malah, akibat tekanan yang dihadapinya, Zarina juga baru-baru ini terlibat dengan dua kemalangan dalam masa terdekat.
"Ayah sepatutnya kena potong kaki sebab kakinya luka akibat terjatuh.
Namun, kakak saya minta jangan dipotong sebaliknya sapu ubat.
Alhamdulillah, luka ayah semakin sembuh tetapi malang pula apabila dia
terjatuh sekali lagi dan menyebabkan kaki yang luka tadi patah.
"Saya juga mengalami kemalangan jalan raya sebanyak dua kali.
Pertama, ketika dalam perjalanan dari Jengka, Pahang ke Kuala Lumpur.
Ketika itu saya baru selesai penggambaran drama RTM, Anak Yang Bertuah.
"Selepas kemalangan itu, tanpa pergi membuat rawatan lanjut saya meneruskan penggambaran drama Ameera
pula dan sekali lagi saya terlibat dengan kemalangan. Mungkin terlalu
penat atau tertekan dengan segala masalah yang dihadapi, ia sedikit
sebanyak mengganggu perjalanan kehidupan saya," jelasnya yang mengalami
penurunan berat badan daripada 47 kilogram kepada 43 kilogram.
Tidak kejar glamor
Sudah banyak drama yang dilakonkan Zarina, tetapi malangnya anak
saudara kepada penyanyi Salwa Abdul Rahman itu tidak begitu menyerlah.
Apabila persoalan itu diajukan kepadanya, ujar Zarina, dia bukan
artis yang gilakan glamor, sebaliknya figura genit ini lebih
mementingkan kualiti.
Jelasnya lagi, sebagai pelakon dia mahu menyampaikan sesuatu mesej kepada penonton. Bukan sekadar lakonan kosong semata-mata.
"Buat apa popular kalau sekejap. Saya mahu terus bertahan dalam
industri lakonan sampai bila-bila. Saya jadikan pelakon Liza Abdullah
sebagai sumber inspirasi yang mana daripada dulu sampai sekarang dia
masih lagi mendapat tawaran berlakon dan semua orang mengenalinya. Saya
juga mahu lakonan saya memberi impak kepada penonton," tuturnya yang
sering membawakan watak antagonis di dalam drama.
Tidak kecewa dengan watak antagonis yang sering dibawa, ungkap Zarina, dia begitu mengidamkan watak protagonis.
"Banyak sebenarnya watak idaman yang sudah saya terima. Sebagai contoh, watak psiko dalam drama Saka Jentayu dan Ameera. Cuma,
saya belum lagi menerima watak yang betul-betul baik. Kalau adapun
watak yang pada mulanya baik, tetapi berubah menjadi jahat kemudiannya,"
luahnya.
Biarpun sering dibanjiri tawaran lakonan, kata Zarina, dia tidak pernah terlintas untuk meninggalkan bidang nyanyian.
No comments:
Post a Comment