GARIS halus pada wajah penunggang basikal downhill mountain itu
membentuk satu pandangan yang menyenangkan dengan bicaranya bersulam
tawa. Jika tanpa senyuman, ternyata dia masih kuat mengheret wajah
misteri Ilham, si pembunuh upahan yang dipotretkan penuh impak dalam
Bunohan.
Dialah Faizal Hussein dan pada usia 45 tahun, anak bongsu pasangan
pelakon legenda Allahyarham Hussein Abu Hassan dan Mahyon Ismail itu
sangat layak bergelar anak wayang. Dia yang mengenal jeritan action! dan
cut! sejak berusia lima tahun itu juga masih kekal sebagai hero
sepanjang zaman di hati peminatnya.
"Prinsip saya dalam lakonan, hanya satu take untuk setiap shot. Dalam
Bunohan juga begitu. Saya dan pengarahnya Dain Said, praktikkan perkara
yang sama," kata Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Anugerah Skrin 2003
itu menjelaskan amalan dan misinya setiap kali berada di mana-mana
lokasi penggambaran.
Sengaja Sensasi Bintang membawa Faizal ke Kompleks Sukan Lasak, Taman
Cabaran di Putrajaya. Idea fotografi berbasikal lasak tempoh hari
sebenarnya lahir atas cadangan Faizal sendiri. Buat Sensasi Bintang,
ajakan itu adalah satu kejutan memandangkan selama ini tidak pernah
ruangan portfolio tampil ekstrem.
Melihat aktiviti berbasikal lasak atau spesifiknya downhill mountain
biking yang sudah dua tahun mengisi rutin hobinya, Faizal sengaja diusik
soalan nakal. Mengisi ruang santai dengan stail orang muda, adakah itu
salah satu caranya mengekalkan jiwa muda?
"Sebenarnya saya sendiri tak pernah berasa tua. Mungkin tahap stamina
mulai menurun, tapi saya perlu kekal lasak untuk karier saya juga,"
katanya.
Tambah Faizal, dia mula menggemari sukan berbasikal ketika berusia 16
tahun sewaktu di Singapura. Waktu itu dia sudah memiliki basikal BMX
yang jarang didapati di republik tersebut.
"Saya pernah lompat (melepasi) dua buah kereta. Rasa puas," ujar Faizal yang pernah menjadi duta jenama Shimano.
"Saya ada dua hobi lagi, main paintball dan helikopter kawalan jauh.
Saya beli kelengkapan permainan itu setiap kali menyambut hari lahir.
Konon-kononnya saya beri hadiah untuk diri sendiri, jadi isteri saya
(Suhaila Sulaiman) tak boleh nak kata apa-apa," ujarnya tidak sabar
untuk berkongsi hobi dengan anak lelakinya, Fazrick yang baru berusia
empat tahun.
Memberi istilah ketagih adrenalin kepada tahap giannya, kata Faizal,
ketagihannya terhadap sukan lasak itu tidak ada jadual khusus, tetapi
setiap kali didatangi perasaan rindu untuk beraksi, hormonnya tidak
menentu selagi tidak dipuaskan.
"Tengok kelapangan juga, kalau tiada jadual penggambaran dan cuaca
mengizinkan. Kalau tak berkesempatan naik basikal, saya hanya akan main
helikopter kawalan jauh dan bila rasa nak menembak, saya akan keluar
main paintball dengan rakan-rakan," katanya yang sanggup berhabis
puluhan ribu ringgit untuk setiap hobi.
Martabat diangkat
Sementara menunggu hujan reda, penulis bercerita tentang projek
terbaharunya. Faizal menganggap Bunohan sebagai pemulih dan pengangkat
martabatnya, dia sendiri berasa impak dan kembali membuka mata banyak
pihak.
"Selama ini, ada stesen televisyen yang enggan guna khidmat lakonan
saya. Baru-baru ini, situasi itu seperti sudah pulih. Tawaran lakonan
juga tidak berhenti, selain drama, filem Sang Pencinta arahan Khir
Rahman bakal ke lokasi dalam masa terdekat. Sebuah filem bersama Bade
juga memulakan penggambaran apabila usai penggambaran Sang Pencinta,"
katanya yang bakal muncul dengan drama Diba Benci Abah bersama Ika
Farhana dan Eja di Astro tidak lama lagi.
Sebelum ini, lelaki dengan ketinggian 1.8 meter itu pernah diumumkan
sebagai taruhan utama kepada tiga buah filem iaitu Khoon Malay, Taiko
dan 1957 yang dijanjikan memulakan penggambaran secara berperingkat pada
Disember lalu. Malangnya, sehingga hari ini, pihak penerbit masih belum
memulakan penggambaran.
Alang-alang bertemu pemilik tubuh, soalan yang sama diusulkan kepada Faizal.
"Memang masa sidang media, pihak penerbit berjanji untuk memulakan
penggambaran sekitar Disember tetapi asyik tertunda sehingga hari ini.
Saya pula jenis yang tidak suka nak melenting atau melatah. Konsep saya
mudah dalam bekerja, agar senang bekerja dengan orang dan begitu juga
sebaliknya.
"Saya tetap hormat semangat mereka yang hendak buat filem tapi mereka
tiada kemampuan. Memikirkan komitmen terhadap tiga filem berkenaan,
banyak juga tawaran filem dan drama telah saya tolak. Kalau ikutkan nak
marah, saya boleh marah tapi untuk apa? Bagi saya, istilah marah-marah
dah tak ada. Sejak dapat anak, saya memang sudah kurang marah," katanya
tetap akan memberi pertimbangan jika pihak terbabit masih mahukan
khidmatnya untuk filem yang dijanjikan.
No comments:
Post a Comment