PETALING JAYA: Penyanyi legenda Datuk D.J Dave memilih untuk
berduet dengan Dayang Nurfaizah kerana sikap positif dan komitmen wanita
itu yang disifatkannya sebagai antara penyanyi terbaik di negara ini.
D.J Dave atau nama sebenarnya Irwan Shah Abdullah, berkata
berdasarkan pengamatannya selepas beberapa kali berduet dalam
persembahan pentas sebelum ini, Dayang mempunyai kualiti seorang bintang
yang tidak dimiliki oleh penyanyi-penyanyi wanita lain.
Penyanyi berusia 64 tahun itu memberitahu, dia tidak perlu berfikir
dua kali untuk mempelawa Dayang sebagai teman duet dalam lagu Segalanya (duet asal bersama Liza Aziz) pada konsert Journey Through Song - Ingin Bersua D.J Dave pada Jun depan.
“Saya mengagumi vokal Dayang sejak mula mengenalinya beberapa tahun
lalu. Standard vokalnya adalah seperti penyanyi antarabangsa dan dia
mempunyai penjiwaan yang baik pada lagu-lagu nyanyiannya.
“Apa yang lebih menarik perhatian saya adalah Dayang mempunyai
disiplin dan komitmen yang tinggi sebagai seorang penyanyi,” katanya
ketika ditemui mStar Online di Menara Star, di sini, Jumaat.
Konsert mega terakhir D.J Dave itu diadakan bersempena meraikan 40
tahun pembabitannya dalam arena nyanyian. Ia bakal berlangsung pada 1
hingga 3 Jun depan di Panggung Sari, Istana Budaya.
Menyambung perbualan, D.J Dave berkata dia semakin berkobar-kobar melakukan persiapan rapi menjelang konsert bersejarah itu.
“Saya sangat teruja menjelang konsert itu. Ia adalah kemuncak kerjaya saya selepas 40 tahun bergelar penyanyi.
“Bagi persiapan sendiri, saya giat menjalankan latihan vokal dan
bersenam untuk mengekalkan stamina. Aspek persiapan teknikal, pentas dan
lain-lain juga dirancang dengan teliti,” jelasnya.
No comments:
Post a Comment