KUALA LUMPUR: Pelakon komedi Siti Haida Abd Moin atau Ieda
Moin mengakui kurang mendapat tawaran berlakon gara-gara menurunkan
berat badan sebanyak 25 kilogram daripada 75 kilogram sebelum ini.
Ieda berkata, dia hairan dengan situasi tersebut namun menganggap
mungkin pihak produksi tidak lagi melihat dirinya mempunyai unsur komedi
apabila badannya sudah kurus.
"Saya pun agak hairan kenapa tawaran berlakon sudah kurang selepas
berjaya menguruskan badan kerana sepatutnya ia lebih membuka ruang
kepada saya sebagai pelakon.
"Mungkin mereka melihat saya tidak lagi sesuai untuk membawa watak komedi," ujarnya kepada mStar Online.
Bagaimanapun kata Ieda, dia tetap optimis dengan situasi tersebut dan menganggap ia bukan rezekinya buat masa ini.
Dalam pada itu Ieda memberitahu dia nekad untuk menguruskan badan
bukan sahaja ingin kelihatan cantik tetapi memandang serius terhadap
faktor kesihatan.
"Dulu sebelum kahwin saya berat badan saya hanya 42 kilogram dan
selepas kahwin naik mendadak kepada 75 kilogram dan macam-macam penyakit
timbul sejak itu.
"Alhamdulilah selepas turun 25 kilogram penyakit seperti darah tinggi
dan saraf yang saya hidapi telah hilang dan saya jadi lebih bertenaga,"
katanya.
Ieda berazam untuk mengurangkan berat badannya sebanyak 10 kilogram
lagi bagi mendapatkan bentuk asal fizikalnya seperti sebelum ini.
Dalam perkembangan lain dia sedang merancang untuk membuat kemunculan
semula bersama adiknya iaitu Eddie Moin menerusi kumpulan Moin yang
pernah dianggotai mereka suatu ketika dahulu.
Ieda bagaimanapun berkata, setakat ini hasrat itu hanyalah
perancangannya dan berharap ia akan menjadi kenyataan suatu hari nanti.
No comments:
Post a Comment