PETALING JAYA: Penyanyi remaja Stacy meminta agar para peminat
tidak menyalahertikan keintimannya dengan anggota kumpuan VIP iaitu
Fadlan Hazim Anuwar (Fadlan) dengan menganggap mereka sebagai pasangan
kekasih.
Stacy atau nama sebenarnya Stracie Angie Anam, 22, berkata pada
hakikatnya mereka hanya akrab sebagai sahabat kerana sudah saling
mengenali sejak beberapa tahun lalu.
“Memang saya rapat dengan Fadlan. Secara kebetulan tiga anggota lain
kumpulan tersebut iaitu Adam, Marlon dan Yandy berasal dari Sabah, maka
sebab itu kami menjadi rapat dan serasi.
“Boleh tanya kepada anggota VIP yang lain kami rapat macam
adik-beradik tetapi tidak sampai ke tahap bercinta seperti yang
digembar-gemburkan,” katanya kepada mStar Online, baru-baru ini.
Stacy menambah, dakwaan yang mengatakan dia bercinta dengan jejaka
berusia 20 tahun itu adalah tidak logik kerana secara peribadinya dia
lebih selesa menjalin hubungan dengan lelaki lebih matang.
“Dia terlalu muda untuk saya seperti pangkat adik. Kalau pun saya
hendak bercinta, biarlah lelaki itu lebih tua. Paling tidak pun biarlah
lebih tua setahun dua daripada saya.
“Terus-terang, saya kurang berminat dengan lelaki yang lebih muda,”
jelasnya sambil menolak tuduhan kononnya Fadlan dikatakan punca
hubungannya dengan Akim berakhir.
Dalam perkembangan lain, Stacy berkata penglibatan dalam program Mania
(Astro Ria) sejak lebih sebulan lalu membantu perkembangan kerjayanya
apabila dia berpeluang untuk merakamkan lagu dengan komposer terkenal
Indonesia, Ahmad Dhani.
Katanya, lagu duet bersama penyanyi baru Indonesia, Alexa Key berjudul Kimia Di Antara Kita itu sudah dirakamkan di Jakarta, Indonesia pada hujung Mac lalu.
“Lagu itu berentak pertengahan, tidak terlalu rancak atau perlahan.
Ia sebuah komposisi yang segar dan berbeza daripada lagu-lagu yang
pernah saya rakam sebelum ini.
“Saya difahamkan lagu itu akan dimuatkan dalam projek album khas Ahmad Dhani iaitu Antara Kuala Lumpur dan Jakarta dan akan dipasarkan pada tahun depan,” kongsinya.
No comments:
Post a Comment