PETALING JAYA: Pelakon dan pengarah drama Zul Huzaimy mengakui
mula berasa sunyi tanpa kehadiran seorang wanita dalam hidupnya selepas
bercerai dengan Nor Dalilah Muhammad, 29, dua tahun lalu.
Zul berkata, dia masih menduda kerana belum menemui calon yang
menepati ciri-ciri yang dikehendakinya untuk dijadikan sebagai isteri.
"Baru-baru ini saya ada menelefon ibu di kampung dan memberitahu
kepadanya supaya mencari seorang calon isteri untuk saya kerana rasa
sunyi tanpa seorang isteri," ujarnya kepada mStar Online.
Bagaimanapun kata Zul, keadaan itu telah membangkitkan semangat
dirinya untuk memberikan tumpuan kepada kerjaya dan penulisan skrip
untuk drama dan filem.
Dia juga sering menggunakan masa terluang untuk menghasilkan skrip
dan memberitahu setakat ini telah beberapa hasil tulisannya itu telah
diterjemahkan sebagai drama di televisyen.
"Menulis skrip memberikan satu kepuasan berbeza kepada saya kerana
tanpa disedari imaginasi dalam kepala saya dapat diterjemahkan dalam
bentuk skrip. Kadang kala saya sendiri terkejut dengan apa yang telah
saya buat," katanya.
Dalam pada itu, bercerita mengenai kerjaya sebagai pengarah drama,
Zul memberitahu dia semakin selesa memegang peranan tersebut dan seronok
dapat melakukannya.
Namun lakonan tetap menjadi keutamaannya walaupun dia kini banyak duduk di kerusi pengarah.
"Alhamdulillahlah syarikat produksi percaya dengan bakat saya sebagai
penulis skrip dan pengarah. Saya sejujurnya rasa puas dapat mengarah
kerana sebagai seorang pelakon banyak perkara saya boleh luahkan
pelbagai perkara," katanya.
Sementara itu, bercakap mengenai buah tangan terbarunya iaitu drama bersiri Seindah Sakura
lakonan Fahrin Ahmad dan Fasha Sandha, Zul berkata ia adalah drama
bersiri pertama arahannya dan mengakui sedikit gusar kerana bimbang
tidak dapat memenuhi kehendak penerbit dan penonton.
Zul bagaimanapun berkata, drama yang diadaptasi daripada sebuah novel
daripada nama sama itu mempunyai kekuatan dari jalan cerita dan skrip
yang baik hasil tulisan Wan Mahani.
"Visual yang terhasil datang dengan sendiri berdasarkan skrip dan
jalan cerita yang kuat. Ia benar telah meninggalkan kesan kepada diri
saya sebagai pengarah," katanya.
Tambah Zul, kesungguhan pelakon dalam menjayakan drama itu juga cukup
mengagumkan dan sikap profesional mereka telah memberikan impak kepada
penghasilan drama tersebut.
Seindah Sakura turut dijayakan oleh Datuk Eizlan Yusof, Eryna,
Fimie Don dan Ruminah Sidek bakal menemui penonton bermula 7 Mei ini
setiap hari Isnin hingga Khamis pada pukul 7 malam di slot Akasia TV3.
No comments:
Post a Comment