Wednesday, May 30, 2012

Faizal Tahir Mengaku Gimiknya Telah 'Makan Diri'

KUALA LUMPUR: Penyanyi Faizal Tahir akhirnya mengakui gimik yang pernah dilakukannya selama ini membawa padah kerana ia umpama memakan diri sendiri.
Faizal, 34, berkata, hal tersebut membuatkan dia semakin kekurangan idea dalam mengadakan persembahan manakala peminat-peminat pula mengharapkan gimik yang lebih hebat berbanding persembahan yang sebelumnya.
"Kebanyakan orang mengenali Faizal Tahir kerana gimik yang dipersembahkan dan ia telah “memakan” diri saya.
"Jujur dikatakan, saya sampai dah kehabisan idea untuk berfikir apakah gimik seterusnya yang perlu dibuat. Ia membuatkan saya tertekan.
"Ini kerana orang nak saya “pecah rekod” daripada persembahan yang pernah saya buat sebelumnya," kata Faizal yang ditemui selepas sidang media Konsert Faizal Tahir, di Hard Rock Cafe, di sini Rabu.
Bagaimanapun, tambah Faizal, masalah yang berlaku itu membuatkan dia hanya perlu mengadakan aksi gimik pada persembahan yang melibatkan siaran televisyen (TV) sahaja.
Manakala pada persembahan yang tidak membabitkan siaran TV, Faizal akan memberi fokus kepada segi susunan muzik pada setiap lagu yang dipersembahkan.
Sementara itu, Faizal bakal mengubat rindu peminat menerusi konsert pertamanya di KL Live, Kuala Lumpur, pada 1 Julai depan.
Konsert yang dianjurkan oleh ZackkoolG dengan kerjasama The 8 Unit itu merupakan konsert kedua Faizal selepas persembahannya pada dua tahun lalu.
Beritahu Faizal, dia akan mempersembahkan sebanyak 10 buah lagu selama sejam dengan membawakan lagu-lagu popularnya seperti Karma, Bencinta dan Hanyut menggunakan susunan muzik yang berbeza.
"Ini merupakan sebahagian projek yang besar bagi saya dan apa yang penting, saya dapat menghiburkan para peminat sebaik mungkin.
"Malah lagu-lagu yang dibawakan akan disusun semula mengikut cita rasa saya. Beberapa lagu saduran turut akan dipersembahkan," ujarnya.
Kata Faizal, konsert tersebut juga merupakan sebagai sebahagian promosi bagi album ketiganya yang bakal muncul tidak lama lagi.
Tiket konsert yang berharga RM98, RM138, RM238 dan RM300 boleh dibeli menerusi laman web www.ticketpro.com.my dan akan dijual bermula Jumaat ini.
Dalam pada itu, bagi sesiapa yang membeli tiket sebelum tarikh 15 Jun, potongan harga sebanyak 20 peratus akan diberikan.

No comments:

Post a Comment