PETALING JAYA: Pelakon dan pelawak, Zizan Abdul Razak atau 
Zizan (Raja Lawak) baru terfikir dia tidak seharusnya terlalu kuat 
bekerja sehingga menyebabkan dirinya jatuh sakit.
Zizan berkata, kejadian dia dimasukkan ke hospital akibat keradangan 
pada otot baru-baru ini telah menyedarkan dirinya tentang kepentingan 
menjaga kesihatan.
"Kerja dan wang bukan segala-galanya kerana tanpa kesihatan yang baik kita langsung tidak mampu melakukan apa-apa.
"Saya terlalu seronok bekerja sehingga tidak memikirkan tentang 
kesihatan diri namun ia adalah pengajaran terbaik buat diri saya selepas
 ini," katanya kepada mStar Online.
Zizan pada 29 April lalu telah dikejarkan ke Pusat Perubatan Pantai 
dekat sini akibat keradangan otot semasa bersiap untuk bertolak ke Ipoh 
bagi menyertai Karnival Jom Heboh.
Dalam pada itu, ditanya mengenai tahap kesihatannya kini, Zizan 
berkata dia berasa lebih sihat selepas dapat berehat selama dua minggu 
dan doktor ada menasihatkannya supaya mengehadkan masa bekerja.
Malah akibat masalah itu pengurusnya Marina Juki telah menapis 
beberapa tawaran bagi memastikan Zizan mempunyai masa untuk berehat 
sebelum menerima tawaran baru.
"Alhamdulilah sekarang berasa lebih sihat dan segar tetapi perlu 
lebih prihatin terhadap kesihatan dan masa berehat yang lebih 
berkualiti," ujarnya.
Tambah Zizan, dia juga amat terharu dengan sokongan dan perhatian 
yang telah diberikan oleh rakan-rakanya sepanjang dimasukkan ke 
hospital.
Sementara itu, Zizan berkata dia bakal kembali ke lokasi penggambaran filem Tokan yang sedang menjalani penggambaran di Melaka selain akan mengacarakan program Melodi seperti biasa selepas ini.

No comments:
Post a Comment