Thursday, April 21, 2011

Astro B.yond IPTV Dilancar


KUALA LUMPUR: Stesen televisyen berbayar Astro memperkenalkan lagi perkhidmatan dengan menawarkan siaran televisyen, kemudahan jalur lebar dan komunikasi suara terbaik menerusi perkhidmatan terbarunya – Astro B.yond IPTV (TV Protokol Internet).

Ketua Pegawai Eksekutif Astro Malaysia, Datuk Rohana Rozhan berkata, pihaknya melakukan usaha sama strategik dengan TIME dotcom Berhad (TIME) untuk menyediakan perkhidmatan IPTV sejak Disember 2010 apabila memperkenalkan kemudahan berbilang saluran Astro dalam HD (Definisi-Tinggi) dengan fungsi Rakaman Video Peribadi (PVR) dan VOD (Video-atas-Permintaan).

Perkhidmatan tersebut dibawakan menerusi kemudahan jalur lebar gentian 100 peratus TIME dengan kelajuan Internet terpantas di negara ini serta komunikasi suara pada nilai terbaik untuk seluruh kediaman di Malaysia.

“Dengan pengenalan Astro B.yond, kami membawakan saluran HD dan 3D pertama dan seterusnya perkhidmatan PVR kepada rakyat Malaysia.

“Sejak dilancarkan, kami telah menerima permintaan yang luar biasa apabila lebih 500,000 daripada 3 juta isi rumah menerima Astro.

“Namun begitu, hampir 320,000 pelanggan Astro sedia ada yang tinggal di kediaman berpusat tinggi tidak dapat memanfaatkan perkhidmatan tersebut membuatkan kami melakukan langkah menawarkan perkhidmatan tersebut kepada mereka,” katanya kepada dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, Khamis.

Buat masa ini, Astro B.yond IPTV boleh didapati di 60 bangunan kediaman tinggi di sekitar Mont Kiara, KLCC, dan Bangsar, Kuala Lumpur serta Pulau Pinang dengan kerjasama TIME.

Bagaimanapun ia dapat diperoleh secara keseluruhan sekitar di Lembah Klang dan Pulau Pinang menjelang akhir tahun. Astro B.yond IPTV disediakan dalam pakej jalur lebar fleksibel pada harga serendah RM128 untuk 3Mbps sebulan yang boleh didapati di samping langganan Astro semasa.

Pelanggan Astro B.yond IPTV boleh menikmati kemudahan jalur lebar kelajuan tinggi dan perkhidmatan VOD percuma sehingga 30 Jun 2011.


« Kembali

No comments:

Post a Comment