Friday, April 8, 2011

Keranamu Laila Kisah Wanita Naif Dikhianati Suami


PETALING JAYA: Terbaru di slot Zehra, TV3 mempersembahkan sebuah drama bersiri terbitan Radius One Sdn Bhd, Keranamu Laila pada 8 April ini, setiap Jumaat, jam 9.00 malam.

Diarahkan oleh sutradara Heykal Hanafiah, drama bersiri 13 episod ini membariskan pelakon-pelakon handalan tanahair seperti Mandy Chong, Norman Hakim, Shahrul Nizam, Wan Elyas, Juhara Ayob dan Eyzendy serta kemunculan bakat baru Ixara Aishah.

Berbekalkan cerita asal Rohizan Ramli dan olahan skrip nukilan Zuraidah Ramli, Keranamu Laila mengisahkan konflik hidup Tan May Ling (May), wanita naif yang dirundung malang setelah dikhianati dan ditinggalkan suaminya.

Hidup May bagaikan pusingan roda. Dia yang berasal daripada sebuah keluarga yang berada telah jatuh cinta dengan pekerja ayahnya, Fendi, namun ketika mereka sedang diulit bahagia, May menjadi mangsa rogol oleh sekumpulan lelaki yang disangka musuh papanya.

Apa yang berlaku telah memberi tamparan yang hebat pada May, namun Alex mampu menarik nafas lega apabila Fendi menyuarakan kesanggupannya untuk mengahwini May. May kemudiannya memeluk Islam dan menjadi isteri Fendi yang sah.

Namun, kebahagiaan yang dimpikan oleh May untuk hidup bersama Fendi berkecai apabila Fendi mula meragui kandungan May.

Fendi menganggap kandungan May bukan anaknya, sebaliknya hasil haram dari kejadian rogol tempoh hari. Fendi mendesak May untuk menggugurkan kandungan namun May enggan. Hubungan mereka mula berantakan.

Kemelut semakin meruncing apabila Kamal tiba-tiba muncul dan mengakui yang anak di dalam kandungan May adalah hasil hubungan cinta mereka berdua.

Kamal mengakui kononnya dia dan May adalah pasangan kekasih. Fendi rasa tercabar dan bertindak meninggalkan May ketika dia sedang sarat mengandung.

Rupa-rupanya, Fendi telah mengatur segalanya dan hanya mempergunakan May sebagai alat untuk membalas dendam terhadap Tauke Alex, ayah May yang dianggap sebagai penyebab kematian kedua-dua orang tuanya.

May bertambah kecewa apabila mendapat tahu yang Fendi sebenarnya sudah berkeluarga sebelum mengahwininya. May nekad meninggalkan bayi di hadapan rumah Fendi kerana dia tidak mampu menyara anaknya, Laila.

Walaupun Laila dibesarkan dengan penuh kasih sayang oleh isteri Fendi, Mazni, namun dia tidak dapat memaafkan ibu kandung yang sanggup membuang anaknya sendiri.

Masa telah berlalu dan kini, May menyara diri dengan hasil yang diperolehi dengan mengutip tin-tin kosong dan barang terpakai lain di lorong-lorong. May menerima simpati daripada seorang pemuda, Qayyum yang berkerja secara sambilan di sebuah cafe.

Qayyum sering menyimpan tin-tin kosong untuk diserahkan kepada May. Setiap kali terdengar laungan azan dari masjid berdekatan, May tertarik mendengarnya. May merahsiakan pegangan agama daripada pengetahuan kawannya, Salimah kerana dia berasa malu pada dirinya yang jahil tentang agama Islam.

No comments:

Post a Comment