Thursday, April 28, 2011

Deejay Lin Tidak Bangga Diri Jadi Ibu Tunggal


KUALA LUMPUR: Penyampai radio Suria FM, Deejay Lin mahu berkongsi pengalaman hidupnya sebagai ibu tunggal bukan kerana dia mahu berbangga diri dengan statusnya itu.

Sebaliknya deejay yang popular menerusi slot Suria Cinta itu nekad untuk memberikan semangat kepada para ibu tunggal yang tidak bernasib baik sepertinya.

“Sebelum ini, mungkin ada yang menganggap ibu tunggal seperti golongan yang lemah dan gagal membentuk keluarga yang bahagia. Mungkin ada di kalangan mereka merupakan wanita yang tidak berkerjaya dan tidak mempunyai punca pendapatan.

“Jadi, saya akan cuba menceritakan tentang bagaimana cara saya melalui hidup sebagai ibu tunggal bermula daripada tidak mempunyai aset tetap sehingga sekarang,” katanya yang telah melalui kehidupan sebagai ibu tunggal selama lima tahun.

Lin yang dilantik sebagai duta kempen Proton Persona - Sememangnya Lebih Sempurna akan berkongsi pengalamannya dengan ibu tunggal di kalangan orang Melayu dalam program 'Hari Memperkasakan Diri' pada 18 Jun depan.

Selain itu, dia akan menjadi mentor kepada tiga orang ibu tunggal yang akan dipilih kemudian. Untuk penyertaan, mereka yang berminat boleh melayari www.protonpersona.com.my.

Sementara itu, Lin juga masih belum membuat keputusan untuk rujuk semula dengan bekas suaminya yang tinggal selang tiga buah rumah dari rumahnya.

“Anak sulung saya ada bercakap tentang perkara ini dan meminta saya rujuk semula dengan bekas suami. Bagaimanapun saya perlu memikirkan perkara ini dengan semasak-masaknya.

“Jika saya terima pun, terus-terang sebab saya fikirkan tentang anak kerana mereka sangat mengharap,” jelasnya yang mempunyai dua orang anak berusia 10 tahun dan 8 tahun.

No comments:

Post a Comment