Saturday, April 30, 2011

Tilu tunggu Jantung Hati


BERMULA dengan tiga ahli kumpulan, kini kumpulan pemuzik indie, Tilu meniti tangga yang lebih tinggi dengan empat ahli kumpulan terbaru. Tujuh jiwa tetapi mereka bersatu dengan hasrat untuk menempa nama yang lebih masyhur sebagai pemuzik yang terkenal.

"Awalnya kami hanya mengadakan pertunjukan di gig-gig dan showcase kecil-kecilan, daripada situ kami dapat menilai kekurangan kami.

"Jadi kami fikir, kemasukan anggota baru sangat rasional bahkan kami juga perlukan vokalis yang sesuai. Mira adalah calon yang sangat tepat," ujar Puja, salah seorang daripada tiga ahli asal Tilu.

Kumpulan Tilu kini giat dalam rangka promosi bagi single terbaru mereka, Jangan-Jangan Cuba, daripada album pertama yang diterbitkan sekitar April 2010.

Lagu hasil ciptaan sepenuhnya Puja Paska itu menekankan elemen dangdut dalam susunan liriknya tetapi masih lagi mengekalkan identiti Tilu yang menggunakan alatan muzik tiupan seperti seksofon dan trompet.

"Jangan-Jangan Cuba mengisahkan pasangan kekasih yang sedang berpacaran namun mesti ada batas-batasnya dalam perhubungan kerana masih belum ada ikatan yang rasmi," ujarnya yang akan menyambut hari lahir ke-34 pada tahun ini.

Dalam kesibukan menjalani aktiviti promosi malah ada antara ahli kumpulannya masih lagi menuntut di menara gading, Tilu bakal mengadakan persembahan di Melbourne, Australia pada 8 Julai ini atas jemputan Persatuan Pelajar Malaysia.

"Acara itu dipanggil Muzika 2011 yang dianjurkan pelajar-pelajar Malaysia di Melbourne. Kami akan menyanyi selama setengah jam, mungkin antara empat atau lima buah lagu," ujar Jeffny sambil menunjukkan pesanan ringkas, pelawaan berkenaan menerusi telefon bimbitnya.

Selain itu, Tilu sedang mengumpul bahan untuk merakam album kedua mereka yang kini sudah 50 peratus siap dengan lima buah lagu telah dirakam.

"Dijangka album kedua akan dilancarkan pada Hari Raya Aidilfitri nanti, sekarang kami hanya menunggu tarikh pelancaran yang sesuai.

"Kami memilih Jantung Hati sebagai tajuknya kelak dan lagu dengan judul yang sama itu juga dicipta sepenuhnya oleh Puja," ulas Jeffny lagi.

Selain album kedua yang akan diterbitkan sepenuhnya oleh Tilu Production, syarikat mereka juga ada menjual barangan cenderamata seperti kemeja-T, rantai kunci dan pelekat.

Dalam diam, kumpulan yang menjadikan irama jazz sebagai rencah utama muzik mereka itu secara senyap-senyap mengorak langkah cuba menyusup ke industri muzik Indonesia.

"Sebagai langkah awal, kami sudah membuat persembahan di beberapa buah kolej swasta atas jemputan Persatuan Pelajar Indonesia di Malaysia.

"Kami melihat dahulu bagaimana sambutan peminat Indonesia di sini dan setakat ini, Alhamdullillah amat bagus.

"Jika ia berterusan, kami akan bawa muzik kami ke sana malah Tilu juga mendapat turut mendapat maklum balas daripada peminat di Batam dan Pekan Baru," ujar Puja Paska.

Tilu lahir di Malaysia tetapi tiga anggotanya berasal dari Indonesia. Selain Puja Paska yang bermain bass, Johar Lucas (drum) dan Reza Ramsey (keyboard), Tilu turut dianggotai Deo Karmawan (gitar), Mira, Fareed Aziz (trompet) serta Jeffny Kamar bermain seksofon.

No comments:

Post a Comment