Monday, April 18, 2011

Siti Saleha Bimbang Berat Badan



KECANTIKAN luaran bukan menjadi perkara penting dalam hidup pelakon Siti Saleha Mohd Baharum, 21.

Sehubungan itu dia tidak terlalu obses untuk sentiasa kelihatan cantik seperti sesetengah wanita.

Bagi Saleha, kecantikan luaran perlu selari dengan kecantikan dalaman. Jika mempunyai pemikiran yang bijak, sudah tentu menjadi bonus yang membantu menyerlahkan kecantikan seseorang itu.

Nasihatnya, seseorang itu hanya perlu menjadi diri sendiri dan daripada situ juga ia mampu menonjolkan kecantikan sebenar.

Jika ditanya siapakah antara nama wanita cantik yang terlintas di benak fikirannya, pelakon drama Ustaz Amirul ini memilih pelakon Vanidah Imran, Nicole Kidman dan Christina Aguilera.

Namun wajah gadis ini juga tidak kurang jelita di tambah pula dengan darah kacukan Melayu, Belanda dan Inggeris yang mengalir dalam dirinya.

Senyum bantu awet muda

Kita biasa mendengar banyak petua orang-orang lama termasuk senyuman mampu membantu menjadikan seseorang itu kelihatan muda.

Malah Saleha turut bersetuju dengan pendapat tersebut kerana menurutnya, senyuman dipercayai boleh menyerlahkan personaliti seseorang.

Cerita Saleha, setiap kali selepas bangun tidur dia tidak akan lepas melakukan rutin wajib iaitu mencuci muka dengan air paip.

Namun begitu, adik kepada vokalis Sam Bunkface ini amat menitik beratkan penjagaan rambut, muka dan badan kerana mengakui dirinya seorang yang feminin.

“Sekali dalam seminggu, saya akan melakukan rawatan kecantikan di Clarins manakala sebulan sekali saya akan menjalani rawatan rambut.

“Dari segi pemakanan, saya selalu mengawal makanan seperti makan nasi sekali seminggu sahaja. Saya perlu mengamalkan diet seimbang kerana berat badan saya cepat naik.

“Apabila saya merasakan badan sudah berisi, saya akan cepat-cepat berhenti makan nasi dan banyak melakukan senaman seperti berenang dan pergi ke gimnasium. Lagipun saya tak mahu nampak ‘tembam’ di skrin televisyen. Saya bimbang dengan berat badan.

“Saya cepat sensitif apabila orang lain mengatakan saya nampak gemuk. Mungkin disebabkan ibu saya orang Inggeris yang mempunyai saiz badan yang besar. Tetapi saya tidak menyalahkan genetik.

“Jadi, untuk menggantikan makanan berat, saya akan banyak mengamalkan makan buah-buahan, salad dan yogurt,” cerita Saleha kepada OopStarz!.

Manfaatkan masa lapang

Ditanya tentang jenama produk, Saleha akui kadangkala dia gemarkan produk yang mahal dan kadangkala sebaliknya. Bagaimanapun, dia lebih mementingkan kandungan sesuatu produk itu.

“Setakat ini, saya gemar produk kecantikan jenama Clarins dan Shu Uemura. Tetapi jika pakaian, saya tidak terlalu kisah jenamanya,” ujarnya.

Menyentuh tentang aktivitinya di masa lapang, pelajar Kolej Inti, Subang Jaya dalam bidang Diploma Komunikasi Massa ini pandai memanfaatkan masanya dengan hobi berfaedah.

“Saya gemar sejarah, jadi saya suka menonton dokumentari di Youtube termasuk video kerja amal di India.

“Saya seorang yang suka berfikir, jadi saya turut menggunakan laman pencarian Google untuk mengetahui tentang apa yang berlaku di dunia luar seperti negara Korea Utara,” ujarnya yang turut mempunyai bakat memasak.Memandangkan usianya semakin meningkat dewasa, Saleha sudah mula merajinkan diri ke dapur dan menyukai aktiviti barunya itu.

“Dulu saya jarang memasak kerana bapa saya selalu memasak untuk anak-anaknya dan tidak suka kami menolongnya di dapur.

“Tapi sekarang, saya tolong juga walaupun dia melarang dan suka memasak spageti dan ayam panggang,” ceritanya penuh mesra.

Mengenai cara mengawal stres, pelakon drama Kasih Yang Suci ini mengambil langkah mudah iaitu tidur bagi mengurangkan stres disebabkan masanya terpaksa dibahagikan antara kerja dan pelajaran.

No comments:

Post a Comment