PETALING JAYA: Filem ...Dalam Botol (DB) yang dikatakan sudah mencecah kutipan RM1 juta sejak ditayangkan 24 Mac lalu, sebaliknya hanya mengutip RM600,000 selepas dua minggu ditayangkan.
Perkara itu disahkan oleh produser Metrowealth Movie Production, David Teo yang juga pengedar filem tersebut.
David berkata, sehingga Isnin (4 April), kutipan filem itu sebenarnya tidak pun mencapai RM1 juta sebagaimana yang dilaporkan sebelum ini.
“Kutipan filem DB sehingga semalam (Isnin) adalah RM600,000. Ia belum mencapai RM1 juta sebagaimana yang diuarkan,” katanya yang dihubungi mStar Online, Selasa.
Ditanya mengenai percanggahan jumlah kutipan itu dengan kenyataan penerbit Raja Azmi Raja Sulaiman sebelum ini, David berkata, faktor salah faham mungkin menjadi pencetus kontroversi tersebut.
"Berdasarkan apa yang dijelaskan kepada saya, Raja Azmi tidak mengatakan filem itu sudah mengutip RM1 juta tetapi ia dijangka mampu mencapai sasaran itu jika filem tersebut terus ditayangkan.
"Mungkin telah berlaku salah faham atau tersalah dengar di antaranya dan pihak media," katanya.
Tambah David, mengikut Skim Wajib Tayang, filem-filem Melayu yang meraih kutipan di bawah RM1 juta selepas tempoh 14 hari tidak akan disambung tayangannya.
"Filem itu masih ditayangkan tetapi agak sukar untuk dilanjutkan tempoh tayangannya kerana kutipan DB di bawah RM1 juta.
"Lagipun, mengikut giliran, filem lain pula akan ditayangkan bermula 7 April ini," katanya.
Dengan kutipan sebanyak itu, berkemungkinan Raja Azmi akan benar-benar bersara sebagai penerbit filem sepertimana yang dinyatakan dalam wawancara bersama program Kerusi Panas, terbitan Bernama Radio 24, 30 Mac lalu.
Filem arahan Khir Rahman itu beraspirasikan kisah benar tentang konflik percintaan pasangan sejenis lelaki Ghous dan Ruby lakonan Wan Raja dan Arja Lee.
DB diterbitkan dengan kos produksi sebanyak RM888,000 tidak termasuk promosi dan ditayangkan di 41 pawagam.
No comments:
Post a Comment