SUNYI daripada dunia seni hiburan tanah air selama 15 tahun tidak bermakna dirinya terus sepi tanpa sebarang penghasilan karya-karya baru.
Menampilkan album Yours Truly sebagai nukilan terakhir iaitu pada tahun 1996, Karl Cromok kali ini terus mengheret kehandalannya bermain gitar dengan penerbitan album solo.
Memuatkan lima buah lagu instrumental menerusi album sulungnya yang berjudul Shred It Back, Karl turut berganding tenaga dengan Amy Search untuk lagu Petanda.
“Idea untuk kembali dalam bidang seni muncul setelah menyaksikan konsert Dewa dua tahun lalu. Selain itu, peminat dan rakan-rakan juga memainkan peranan penting menyuarakan hasrat untuk mendengar petikan gitar saya.
“Mulanya saya fikir, bukan mudah untuk kembali. Apa harus saya lakukan ialah sesuatu kelainan yang mampu menyuntik semangat peminat,” katanya pada sidang media pelancaran album solo sulungnya di Hot Studio, Wangsa Maju, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Mula diedarkan sejak Februari lalu, Shred It Back menjadikan laman sosial Facebook sebagai platform untuk mempromosikan album itu.
Mengambil kesempatan memperdengarkan petikan gitar solonya di dalam studio, ternyata karyanya itu mampu memenuhi cita rasa muzik rock mahupun metal.
Bagaimanapun, Karl dilihat bijak mengadun muzik dengan memuatkan lagu berentak sedikit sentimental bagi menarik lebih ramai pendengar.
“Muzik saya tidak semestinya khas untuk mereka yang berjiwa rock. Ini kerana saya turut memuatkan melodi yang tidak terlalu gila,” ujarnya ringkas.
Meskipun, mula mengumpul karya yang ingin diketengahkan sejak tahun 2009, Karl tidak memaksa diri untuk menyiapkan album itu terlalu awal.
Dia yang banyak menggunakan pengaruh muzik rock gitaris Yngwie Malmsteen, Rhandy Rhodes, Vivian Campbell dan Joe Satriani lebih mengutamakan kualiti sekali gus bagi mendapat hasil yang dipuji peminat.
“Saya memang tiada masa untuk siapkan lagu. Lagipun sibuk dengan kerja tetap. Tetapi disebabkan terlalu ghairah dengan muzik, saya usahakan juga dengan memilih waktu sesuai iaitu awal pagi.
“Waktu itu biasanya anak pun sudah tidur, suasana pun sunyi. Jadi saya boleh hasilkan lagu dengan tenang,” jelasnya.
No comments:
Post a Comment