Monday, April 11, 2011

Dadah: Azma Aizal Enggan Terjebak Lagi


KUALA LUMPUR: Aktor dan pengarah Azma Aizal Yusoof, 30, yang dikenali sebagai Isma Yusoof sebelum ini berkata hidupnya lebih bermakna selepas setahun bebas daripada pengaruh dadah.

Susulan pengalaman hitam yang dilaluinya pada 2009 itu, pemilik nama sebenar Muhamad Ismaizal Yusoof ini sudah menyimpan kemas kesilapan tersebut.

Kini pemenang anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Anugerah Skrin 2010 ini hanya ingin menumpukan perhatian pada karier seni yang kembali bersinar.

"Saya sudah simpan pengalaman hitam terjebak dengan dadah iaitu ganja dan tidak mahu dikenang lagi. Saya belajar banyak perkara daripada kealpaan dan kesilapan itu.

"Kini, saya sangat bersyukur kerana terus diberi peluang oleh Tuhan, keluarga dan masyarakat. Sebab itu, sekarang saya gunakan nama Azma Aizal Yusoof dan mahu mulakan fasa baru dalam kehidupan," katanya.

Kata pengarah drama bersiri Merah Puteh ini lagi, walaupun kerjayanya pernah terumbang-ambing pada tahun lalu, dia bersyukur apabila diberi kepercayaan oleh pelakon dan penerbit filem Dilarang Masuk (DM) iaitu Esma Daniel untuk membintangi filem itu.

"Tiga bulan karier saya tidak menentu ekoran pengakuan tentang ketagihan ganja. Namun saya bersyukur kerana Esma Daniel memberi peluang untuk membintangi filem DM.

"Dia minta saya hadiri ujibakat untuk salah satu watak dalam filem itu. Saya datang untuk mencuba nasib tetapi tak sangka pula berpeluang untuk bawa watak utama," imbasnya.

Justeru itu, Azma menganggap DM begitu istimewa dan bermakna kerana bukan saja dia berpeluang menjadi hero buat pertama kali, malah filem itu juga adalah platform untuknya kembali aktif di arena lakonan.

"Filem ini sangat bermakna kerana ini adalah pertama kali diberi kepercayaan sebagai hero sejak lima tahun terlibat dalam bidang seni.

"Ia juga adalah permulaan bagi kemunculan semula saya dalam dunia lakonan selepas fasa hitam yang pernah dilalui sebelum ini. Kini saya mahu kerja keras dan fokus terhadap bidang ini," katanya.

Selain Azma, DM yang mengetengahkan isu pendermaan organ secara haram itu turut dibintangi oleh Shiqin Kamal, Isma Hanum Husein, Muniff Isa dan Esma Daniel.

Filem arahan Jeffrey Chiang itu sedang ditayangkan di pawagam bermula 7 April lalu.

No comments:

Post a Comment