Thursday, April 21, 2011

Fiza (Elite) Tidak Maafkan Penyebar Fitnah


KUALA LUMPUR: Dramatis Siti Zaidatul Fiza Abdul Halim atau Fiza menganggap kontroversi yang berlaku apabila dia dikaitkan sebagai punca penceraian seorang jurukamera adalah fitnah besar yang dihadapinya.

Fiza yang juga bekas anggota kumpulan Elite berkata, dia tidak akan memaafkan apa yang berlaku kerana perkara tersebut turut menyebabkan rumah tangganya juga tidak dapat bertahan lama.

“Kontroversi tersebut memang merubah kehidupan saya, apa yang dilaporkan sebelum ini bukan seperti apa yang sebenarnya berlaku.

“Saya lebih tahu keadaan sebenar. Saya mengakui mungkin saya tersilap tetapi saya bukan punca Malek bercerai dengan isterinya seperti yang dikatakan orang,” katanya.

Fiza mengulas tentang kontroversi yang mendakwa dia sebagai punca penceraian jurukamera, Malek Marwi yang juga bapa kepada pelakon Erin Malek.

Menurut Fiza, penceraian pasangan itu adalah kerana masalah peribadi keluarga mereka sendiri.

“Saya seperti mangsa keadaan sebab ketika itu saya memang rapat dengan Malek. Kami hanya kawan yang saling mendengar masalah.

“Ada pihak yang cuba menabur fitnah dan melaga-lagakan suami saya dan isteri Malek sehingga hubungan rumah tangga saya dan Malek tidak dapat diselamatkan lagi.

“Bekas suami saya bukan orang dalam industri seni, jadi dia cepat terpengaruh dengan berita-berita di akhbar,” katanya.

Selepas bercerai dengan Ahmed Farriq Zainul Abidin pada 4 November 2010, Fiza mengakui hatinya masih lagi terluka.

“Tipulah kalau kata saya tidak sayang suami, walaupun sudah bercerai kami masih jadi kawan baik lagi tapi untuk rujuk semula kami tidak pernah berbincang mengenainya.

"Buat masa ini juga saya tidak merancang untuk berkahwin lain," katanya.

No comments:

Post a Comment