Friday, April 15, 2011

Salma kekalkan rentak kemenangan


PERSAINGAN untuk kumpulan B rancangan program realiti televisyen Mentor musim kelima untuk minggu kedua semakin rancak apabila protege Erra Fazira iaitu Salma meneruskan rentak kemenangan.

Dalam persembahan yang diadakan di Dewan Auditorium MBSA baru-baru ini menyaksikan Salma mengatasi cabaran dua orang lagi peserta iaitu Iqa dan Aiman yang masing-masing merupakan protege kepada Edry dan Rahim Maarof.

Menerusi markah yang diperolehi menerusi juri awam, juri profesional serta melalui undian SMS, Salma mendapat 77 peratus, diikuti Iqa dengan 56 peratus dan Aiman sekadar berpuas hati dengan meraih undian sebanyak 43 peratus sahaja.

Pada malam tersebut, Salma telah membuat satu persembahan yang cukup mantap dan bertenaga menerusi dua buah lagu iaitu Bukan Milikmu Lagi serta Rama-Rama yang dinyanyikan secara duet bersama Ratnah iaitu protege Afdlin Shauki dari Kumpulan A.

Malah persembahan peserta yang berasal dari Tawau, Sabah itu turut mendapat pujian dua orang juri iaitu Datuk Ramli MS dan Mas Idayu. Menariknya, dia turut mendapat markah penuh sebanyak 20 peratus daripada juri awam.

Dalam komen yang diberikan, Ramli MS menyifatkan Salma sebagai seorang peserta yang sememangnya sudah boleh menyanyi, manakala Mas Idayu pula menganggapnya peserta yang cukup hebat.

Seorang lagi peserta iaitu Iqa yang turut memberi saingan sengit kepada Salma turut tidak ketinggalan membuat persembahan yang memukau menerusi sebuah medley lagu berjudul Sejati dan Bujang Senang.

Ternyata percubaan Iqa yang membawa elemen rock untuk persembahan minggu kedua dilihat agak berjaya apabila turut mendapat pujian kedua-dua orang juri dan mentornya iaitu Edry.

Untuk persembahan yang kedua pula, Iqa turut tidak mengecewakan para peminatnya apabila sekali lagi tampil dengan persembahan mantap menerusi duetnya bersama protege Noh Hujan iaitu Ayish dengan lagu Sofea Jane yang dipopularkan oleh Black.

Bagaimanapun, nasib dilihat tidak begitu menyebelahi protege Rahim Maarof iaitu Aiman apabila sekali lagi dia mendapat peratusan undian yang terendah untuk minggu kedua.

Biarpun dia dilihat berani membawa medley lagu-lagu rock menerusi empat buah lagu iaitu Ekstravaganza, Larut, Aku Cinta Kerana Kau Cinta dan Holy Diver, tetapi ia masih belum mampu memikat hati juri.

Sementara menerusi persembahan kedua pula, Aiman dilihat masih tidak mampu untuk membuat persembahan yang memberangsangkan, meskipun berduet dengan protege Datuk Sharifah Aini, Shiha.

Menerusi komen yang diberikan oleh Ramli MS, beliau merasakan Aiman tidak mampu untuk membawakan lagu rock dengan baik dan Mas Idayu pula menyatakan duetnya bersama Shiha dilihat agak longgar.

Kurang pengalaman

Ketika ditemui selepas tamat persembahan, Aiman menyatakan antara punca dia masih tidak mampu untuk memberi saingan kepada dua orang peserta lagi adalah disebabkan kurang pengalaman.

Menurutnya, sebelum ini dia langsung tidak pernah menyertai mana-mana pertandingan nyanyian dan Mentor adalah merupakan percubaan sulungnya untuk bergelar seorang penyanyi.

“Secara jujurnya, saya memang tidak berpuas hati dengan persembahan malam ini dan ia memberi sememangnya agak memberi tekanan untuk terus memberikan saingan.

“Apapun saya akan berbincang dengan mentor saya untuk perbaiki segala kelemahan yang ada. Walaupun terus berada di tangga terbawah, namun saya yakin peluang saya masih lagi ada,” ujar peserta dari Shah Alam itu.

Sementara bagi Salma yang sudah dua minggu berturut-turut bergelar juara mingguan, dia tidak mahu berasa terlalu selesa memandangkan persaingan masih lagi berlangsung.

Ujarnya, meskipun terus mendapat peratusan undian yang tertinggi untuk minggu kedua, tetapi dia berasa sedikit kecewa apabila ia merosot berbanding minggu sebelumnya.

“Pada minggu pertama saya mendapat undian sebanyak 80 peratus dan minggu ini hanya 77 peratus. Jadi saya tidak boleh terlalu yakin sangat dan akan terus membuat persembahan yang terbaik untuk minggu-minggu seterusnya,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment