Friday, April 8, 2011

Ani mahu cuba komposer baru


SELEPAS menyepi dari dunia nyanyian hampir tiga tahun, pelantun irama dangdut, Ani Maiyuni bakal kembali mewarnai dunia nyanyian dengan single terbarunya yang kini sedang dalam proses pembikinan.

Tampil sebagai artis di bawah naungan Cherry Talent & Management sejak awal Mac lalu, Ani memberitahu, single tersebut dijangka akan menemui peminat selepas sambutan Aidilfitri tahun ini.

“Buat masa ini sudah ada beberapa orang komposer yang terlibat. Kami sedang dalam proses perbincangan untuk genre lagu, tetapi tidak semestinya saya telah melupakan dangdut andai kata single saya itu bukan genre tersebut.

“Saya akan cuba kekalkan konsep lagu yang catchy. Material secara asasnya sudah ada, cuma saya tidak mahu terburu-buru. Lagipun hanya sebuah lagu (baharu) sahaja akan dihasilkan ,” katanya yang ditemui pada sesi fotografi dengan Kosmo! baru-baru ini.

Penyanyi berusia 33 tahun itu turut bersedia untuk menerima tawaran daripada mana-mana komposer baru yang mempunyai koleksi lagu yang sesuai untuk diberikan kepadanya.

“Sekarang banyak komposer baru dan saya sendiri tidak begitu mengenali mereka. Kadangkala ada yang sudah mempunyai simpanan lagu-lagu, tetapi masih belum jelas siapakah penyanyinya.

“Mereka boleh tampil dan berbincang dengan saya dan juga pihak pengurusan. Saya teringin untuk bekerjasama dengan komposer baru jika mereka mempunyai lagu yang sesuai dengan saya. Jika sesuai, saya sedia terima walaupun mereka masih baru,” ungkap Ani yang turut mahu membuat kemunculan semula dalam dunia lakonan dan pengacaraan.

Berbicara tentang dirinya yang selama ini dikatakan sudah selama ini, Ani menafikan dakwaan itu dan katanya, dia masih lagi aktif dan giat memenuhi undangan nyanyian.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu memberitahu: “Selama ini orang ingat saya diam (tidak aktif), tetapi sebenarnya tidak. Cuma saya belum ada kisah yang sesuai untuk ditampilkan.

“Apabila kerjaya saya sudah diuruskan oleh pihak pengurusan, barulah saya cari peluang untuk berjumpa semula dengan rakan wartawan dan menceritakan perkembangan terbaru saya,” ungkap Ani atau nama sebenarnya Aishah An-Nur Osman.

Bersyukur dengan ikatan bersama Cherry Talent & Management, Ani turut meluahkan rasa yakin dengan kemunculan semula dalam industri hiburan.

Katanya, masakan dia berani untuk membuka kedai jika tidak mempunyai pelanggan tetap?

“Itu perumpamaan yang boleh saya simpulkan. Pelanggan tetap sudah ada, cuma mahu tambahkan jumlahnya sahaja. kalau tidak, saya tidak akan suka-suka untuk muncul semula.

“Bila ada permintaan, baru saya berani untuk tampil. Peminat tidak mahu saya hilang. Untuk itu, saya cuba sedaya upaya segarkan penampilan saya agar boleh diterima ramai,” tuturnya sambil tertawa kecil.

Mengalih butir bicara, Ani baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama Semanis Janji yang akan ditayangkan di RTM.

Ditanya tentang watak, Ani menyatakan dia sering diberikan watak antagonis sehingga terpaksa menolak beberapa tawaran untuk mendukung watak yang sama.

“Banyak juga saya ditawarkan watak jahat. Bukan mahu memilih, jauh sekali untuk mempersoalkan kepercayaan yang telah diberi, namun saya cuma ingin mencuba watak lain daripada itu seperti watak komedi yang santai,” tuturnya.

No comments:

Post a Comment