Get widget

Saturday, March 5, 2011

Diana Danielle Belajar Berlakon Di Los Angeles April Ini


PETALING JAYA: Pelakon Diana Danielle, 20, (gambar) bakal melanjutkan pelajaran dalam bidang lakonan di Sekolah Filem & Lakonan Akademi Filem New York di Los Angeles pada bulan depan.

Menurut Diana yang tidak sabar memulakan pengajiannya di akademi terkenal itu, dia merasakan keputusan itu merupakan idea yang bagus untuk menggilap kemahiran lakonannya.

“Walaupun kita sudah menjadi pelakon berbakat, beberapa teknik lakonan mampu membantu untuk meningkatkan penghayatan lakonan kita," kata pelakon cantik berdarah Inggeris ini.

Dia baru menyelesaikan pengajian matrikulasi dalam jurusan Biosains di Universiti Nottingham, Semenyih, Selangor.

Diana akan terbang ke Los Angeles pada 5 April ini untuk memulakan kursus intensif selama sebulan sebelum meneruskan kursus lakonan pada jangka masa panjang.

“Saya cuba berunding dengan pihak pengurusan untuk mengikuti pengajian mengikut masa yang fleksibel. Jadi, saya boleh pulang ke Malaysia selepas beberapa bulan untuk menyelesaikan kerja di sini.

“Saya masih terikat untuk menyelesaikan beberapa penggambaran produk yang menaja saya,” kata duta Nano White, Public Gold dan Sunsilk itu.

Tambahnya: "Kebanyakan pelakon hebat terlibat dengan latihan lakonan. Saya mahu menjadi seperti mereka. Ia sangat berguna kepada saya apabila mendapat watak yang lebih mencabar. Sekurang-kurangnya saya mendapat beberapa teknik lakonan untuk dibawa pulang ke sana."

Menariknya, kelas lakonan di akademi itu hanya mempunyai enam hingga lapan pelajar dalam sebuah kelas.

Menurut ibu Diana, Norsiah Ramli, program di akademi itu menyediakan teknik-teknik lakonan kamera moden di samping asas berlakon teater kepada para pelakon. Tenaga pengajar profesional terdiri dari pelakon, penulis, pengarah, penerbit dan individu berpengalaman di Hollywood, filem indie dan televisyen.

Semua pelajar akan mendapat latihan peribadi dan disiplin ketat sebelum memulakan karier dalam filem dan televisyen.

Bagi pelakon filem Magika itu, pengalaman belajar di Sekolah Filem New York bakal melengkapkan kemahiran lakonannya.

“Saya akan terdedah dengan banyak perkara baru dan belajar banyak perbezaan seni lakonan filem, drama dan teater serta peluang bekerja dalam dunia dan produksi filem sebenar.

“Saya berharap apabila pulang nanti, saya menjadi pelakon yang lebih bagus kerana itulah yang saya impikan iaitu melakukan yang terbaik dalam setiap kerja yang dilakukan,” kata pelakon filem Hanyut dan … Dalam Botol ini.

Menyentuh tentang peluangnya memenangi anugerah Pelakon Filem Paling Popular pada Anugerah Bintang Popular (ABP) 2010 di samping pesaingnya iaitu Lisa Surihani, Liyana Jasmay, Maya Karin dan Scha Alyahya, Diana berkata, "peminat akan membuat keputusan terbaik."

"Saya jangka Lisa Surihani tetapi calon lain juga mempunyai peluang besar untuk memenangi anugerah itu. Saya gembira dengan siapa sahaja pilihan peminat untuk menang," kata model dan pelakon yang mula diperkenalkan menerusi filem Idola.

Diana juga akan memulakan karier nyanyiannya pada tahun ini. Dia bakal menerbitkan single pertamanya bergenre rock balada akustik berjudul Tak Pernah Ada sebelum hujung tahun ini.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More