KUALA LUMPUR: Vokalis Wings, Awie dijangka akan mendendangkan lagu-lagu popular kumpulan itu sambil bersama tiga buah motosikal kuasa tinggi Harley Davidson di pentas Konsert Wings Opera HidupSuperfriends di Istana Budaya, di sini.
Konsert yang turut menampilkan ikon-ikon rock legenda popular digelar Superfriends itu akan dipentaskan bermula 28 April hingga 1 Mei depan.
Antara ikon tersebut termasuklah Man Kidal, Kid Search, Yazit Search, Rosli Mohalim, Hillary, Yan, Edrie Hashim, Ujang, Nash, Hattan, Ramli Sarip, Mus May, Azlan The Typewriter, Yantzen, Lola dan M. Nasir.
Menurut Awie, motosikal itu merupakan simbolik kepada malam persembahan yang akan dihadiri oleh pihak Harley Davidson pada 1Mei selaku salah seorang penaja konsert.
"Saya rasa cukup bertuah kerana nama-nama besar bertaraf antarabangsa seperti jenama Harley Davidson berbesar hati untuk menaja Wings.
"Sebelum ini, pihak Harley Davidson pernah menaja saya seorang semasa menjalani program jelajah satu Malaysia selama empat hari.
"Kali ini syarikat itu mengintai Wings pula. Ini menunjukkan nama Wings diletakkan pada tahap tersendiri dan tambahan pula Istana Budaya membuka peluang kepada kami," kata Awie, Isnin.
Selain dari itu, Awie yang juga ahli Harley Davidson berkata pertunjukan beberapa buah kereta Ferrari ditampilkan sempena konserttersebut sebagai lambang eksklusif yang tiada tolok bandingnya.
Bercerita tentang konsert berkenaan, ia terbahagi kepada dua persembahan dalam sehari.
Mereka akan mendendangkan kurang dari 20 buah lagu rock popular yang menjadi siulan sejak tahun 80-an hingga sekarang.
Persembahan pada pukul 3 petang itu menampilkan gabungan Wings danSuperfriends berkonsepkan semi-akustik dengan susunan muzik terbaru pada 30 April dan 1 Mei.
Sementara persembahan bermula pukul 8.30 malam menampilkan orkestra melibatkan kumpulan Wings sahaja.
"Apabila Wings bergabung dengan Superfriends, setiap penyanyi yang di undang akan menyanyikan dua hingga tiga buah lagu kerana kami terlalu ramai.
"Oleh itu, saya boleh menyimpan tenaga dan suara untuk membuat persembahan pada waktu malam.
"Saya akan pastikan Wings & Superfriends memakai pakaian yang lebih sopan semasa membuat persembahan agar lebih menghormati tetamu yang hadir.
"Kami akan melantik seorang penasihat imej untuk memastikan imej kami tidak kelihatan compang-camping," ujar Awie lagi yang kurang sihat kerana sibuk dengan penggambaran filem terbarunya serta pementasan Lat Kampung Boy Sebuah Muzikal.
Sementara itu, Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaarani yangturut hadir pada majlis tersebut mengumumkan jualan tiket Konsert Wings Opera Hidup Superfriends laris dijual.
Tambahnya, tiket berharga antara RM65 hingga RM125 telah habis dijual.
No comments:
Post a Comment