PETALING JAYA: Syarikat produksi Zeel Production mengakui terpaksa mengeluarkan bayaran yang tinggi kepada Rozita Che Wan untuk memujuknya berlakon dalam drama komedi bersiri, Iparku Diva, selepas dia mengumumkan hasrat bersara daripada dunia lakonan.
Drama 13 episod tersebut akan disiarkan menerusi Astro Warna (saluran 132) pada malam Khamis (malam ini) selama setengah jam bermula pukul 9.30 malam.
Penerbitnya, Fadzil Teh berkata, bukan mudah memujuk Rozita kerana pelakon itu bimbang akan berhadapan dengan pelbagai implikasi buruk selepas dia membuat keputusan untuk tidak lagi berlakon pada tahun 2011.
“Kami memujuknya banyak kali untuk terlibat dalam drama ini tetapi dia tetap menolak.
"Akhirnya kami terpaksa menawarkan bayaran yang agak tinggi demi memujuk hatinya agar menyertai produksi ini,” katanya yang enggan menjelaskan jumlah bayaran yang diberikan untuk Rozita dalam drama tersebut.
Kata Fadzil lagi, semasa proses memujuk Rozita itu, pihaknya terpaksa melakukan penggambaran untuk adegan-adegan lain sementara menunggunya membuat keputusan sehinggalah pelakon itu memberi kata putus selepas habis perkahwinan adiknya, Ayu Raudhah pada 21 Januari lalu.
Ditanya apakah kehebatan Rozita berbanding pelakon lain sehingga pihaknya sanggup memberikannya bayaran yang tinggi ujar Fadzil, pelakon itu mempunyai pengaruh yang kuat khususnya peminat-peminat drama Melayu.
Tambahnya, Rozita juga berjaya menaikkan rating drama terbitan mereka sebelum ini iaitu Kiah Pekasam yang disiarkan pada pertengahan tahun lalu menerusi saluran yang sama“Kami percaya kalau orang sanggup membayar kepada Astro untuk saluran itu, kami juga perlu membayar lebih kepada pelakon yang penonton suka agar rating drama terbitan kami mencapai sasaran serta memenuhi kehendak penonton,” ujarnya.
Fadzil berkata, Iparku Diva adalah drama pertama lakonan Rozita selepas dia membuat keputusan bersara dan ia merupakan satu kejayaan besar buat mereka kerana berjaya memujuk pelakon itu membatalkan hasratnya.
Malah katanya kerana drama itu juga membuatkan Rozita turut menjadi rebutan beberapa syarikat produksi lain yang masih mahu mendapatkan khidmatnya.
“Selain bayaran yang tinggi, kami percaya Rozita juga sudah biasa berlakon dengan drama-drama lain terbitan syarikat produksi kami dan dia mengakui selesa dengan layanan yang diberikan sehingga gagal menolak tawaran tersebut,” tambahnya.
Iparku Diva yang melalui penggambaran pada Februari lalu turut membariskan para pelakon seperti Norman Hakim, Sheera Iskandar, Reza Hasbi, Azlee Khairi, Azzarani, Delimawati, Kismah Johari dan pelakon baru, Syaff Shamim.
Ia diarahkan oleh Jamal Khan sementara skrip tulisan Hafizul.
Drama komedi ini mengisahkan kehidupan Munirah (Rozita Che Wan) yang berkahwin dengan Cikgu Hassan (Azharani) serta mempunyai seorang anak lelaki yang petah bercakap.
Munirah terkenal sebagai seorang biras dan kakak ipar yang garang, “queen control”, serta berlagak seperti diva sehingga mampu mengarahkan suami untuk melakukan kerja-kerja isteri termasuklah memasak dan mengemas rumah.
Perbuatan Munirah itu menimbulkan rasa tidak puas hati iparnya yang lain sehingga mereka sanggup mengata sesama adik-beradik dan ipar-duai ini.
Namun begitu, kesemua mereka sering bertemu di meja makan yang sama kerana Munirah tidak pandai memasak sementara ahli keluarga yang lain pula mempunyai pelbagai angan-angan yang mungkin tidak kesampaian.
No comments:
Post a Comment