LOS ANGELES: Bintang filem Hollywood, Elizabeth Taylor yang terkenal dengan mata ungunya meninggal dunia di Hospital Cedars-Sinai di sini, Rabu pada usia 79 tahun.
Aktress tersebut di masukkan ke hospital berkenaan beberapa minggu lalu akibat mengalami komplikasi jantung yang dihidapinya sejak sekian lama.
Pelakon itu mempunyai 10 orang cucu dan empat cicit. Saat kematiannya di hospital, dia dikelilingi oleh anak-anaknya iaitu Michael Wilding, Christopher Wilding, Liza Todd dan Maria Burton.
Taylor pernah lapan kali bernikah termasuk dua kali dengan pelakon Richard Burton.
Selama kerjaya lima dekad dia memenangi dua Anugerah Akademi bagi pelakon terbaik, termasuklah menerusi “Who’s Afraid of Virginia Woolf”.
Bagaimanapun sejak beberapa tahun kebelakangan ini keadaan kesihatannya kurang mengizinkan membuatkan dia terus bersara daripada tatapan awam sehinggalah dia muncul pada majlis pengebumian Michael Jackson pada 2009.
Lahir di London pada 27 Februari 1932, dia dibesarkan di California dengan keluarganya adalah orang Amerika Syarikat.
Pada tahun 1942. Taylor muncul dengan filem pertamanya There’s One Born Every Minute.
Pada tahun 1944 dia diangkat sebagai bintang National Velvet, sebuah filem yang mengisahkan seorang gadis yang menunggang kuda lalu menyamar sebagai lelaki.
"Sebelum kasih saya kepada lelaki, cinta saya kepada haiwan," katanya pada ketika itu.
Perkahwinan pertamanya pada 1950 ketika berusia 18 tahun dengan pewaris rangkaian hotel Nicky Hilton. Perkahwinan tersebut bertahan selama 203 hari.
Pada tahun 1952, dia telah bertemu jodoh dengan warga British, Michael Wilding yang 19 tahun lebih tua daripadanya. Hasil perkahwinan itu mereka mempunyai dua orang anak iaitu Michael Jr dan Christopher.
Walaupun Taylor mengatakan Wilding membuatkan hidupnya bertambah stabil, ia tidak mencukupi baginya sehinggalah dia memfailkan penceraian pada tahun 1956.
Beberapa hari perpisahan itu, penerbit Michael Todd, 49, datang meminangnya.
Kata wanita itu, perkahwinan tersebut adalah cinta pertamanya yang amat besar. Hasil perkahwinan berkenaan dia dikurniakan seorang puteri, Frances Elizabeth, pada bulan Ogos 1957.
Sayangnya selepas tujuh bulan perkahwinan tragedi menimpa Todd dalam satu kecelakaan pesawat di New Mexico.
Keadaan itu menyebabkan sahabatnya, penyanyi Eddie Fisher dan isteri iaitu pelakon Debbie Reynolds yang tinggal di Carlifornia mengambil berat terhadap anak-anak Taylor.
Sayangnya Taylor telah mengganggu rumah tangga rakannya itu apabila merampas Fisher daripada Reynolds. Peristiwa itu menyebabkan kemarahan peminat-peminatnya sehingga menggugat kerjayanya sebagai seorang artis hebat. Mereka berkahwin pada 1959.
Pada tahun berikutnya, beliau memenangi Anugerah Oscar pertama sebagai pelakon terbaik membawa watak sebagai “call girl” dalam filem Butterfield 8. Taylor dikatakan telah membenci filem itu.
Kemudian dia berlakon dalam Cleopatra (1962) bersama Richard Burton sebagai teraju utama.
Menerusi filem itu mereka telah jatuh cinta dan berkahwin pada Mac 1964 di Montreal dan akhirnya bercerai pada Jun 1974.
Atas dasar cinta yang membara mereka bertemu jodoh semula dan bercerai dua tahun kemudian.
Perkahwinan ketujuhnya dengan seorang Senator Virginia iaitu John Warner yang hanya bertahan enam tahun (1976-1982).
Pada tahun 1991, Taylor mengejutkan dunia hiburan apabila melangsungkan perkahwinan kelapannya dengan Larry Fortensky, seorang pekerja pembinaan berusia 40 tahun.
Keadaan kesihatan Taylor semakin teruk sehinggalah pada tahun 1997 dia menjalani pembedahan untuk membuang tumor otak.
Pada tahun 2006 dia muncul di televisyen Amerika Syarikat dengan menafikan khabar angin yang dia sedang menderita penyakit Alzheimer.
Pada bulan Julai 2008, Taylor dirawat di hospital namun jurucakapnya, Sally Marrison menafikan kononnya Taylor sedang nazak.
Bagaimanapun pada awal Februari lalu, dia telah dimasukkan ke hospital akibat kegagalan jantung. - AFP
No comments:
Post a Comment