Friday, March 18, 2011

Dynas Kembali Ceriakan 'Si Kecilku Chakk!!'


PETALING JAYA: Program yang mengupas tentang tumbesaran kanak-kanak, Si Kecikku... Chakk!! bakal kembali dengan musim kedua mulai 22 Mac di slot Senda Pagi, TV3, setiap Selasa, pukul 10.30 pagi.

Program realiti yang dihoskan oleh pelakon popular Dynas Mokhtar ini bakal berkongsi pengalaman serta tip dan segala maklumat yang diperlukan oleh seorang ibu untuk manfaat bayi yang sedang membesar.

Pengurus Besar Kumpulan, Kumpulan Pengurusan Jenama TV3 & TV9, Nurul Aini Abu Bakar berkata program ini diteruskan berikutan sambutan yang diterima melalui musim pertama sangat memberangsangkan.

"Musim kedua ini akan menerapkan elemen yang berkonsepkan gaya hidup dan fokus ditujukan kepada para ibu bapa, bayi matang dan kanak-kanak.

"Maklumat, tip, fakta menarik dan fesyen terbaru tentang dunia keibubapaan merupakan suntikan utama program ini dan disampaikan dengan stail yang menarik, ringkas dan senang difahami.

"Tidak ketinggalan, dapatkan petua dan panduan untuk wanita berkerjaya yang mempunyai anak sedang membesar," katanya pada sidang media pelancaran Si Kecilku.. Chak!!!.

Program ini secara tidak langsung dapat mendidik penonton pelbagai genre untuk mengenali diri sendiri dan persekitaran masing-masing, terutamanya bagi ibu bapa yang mempunyai bayi yang sedang membesar.

Dalam pada itu, program 26 episod ini juga akan mendedahkan aspek penting bagi ibu bapa dan penonton yang mempunyai bayi dan anak kecil.

Ia merangkumi ikatan kekeluargaan, perilaku anak-anak, memupuk bakat semulajadi, tips selepas bersalin, ilmu dan tip positif untuk para ibubapa dan pemilihan susu terbaik untuk bayi.

Lebih menarik, musim ini juga akan memaparkan penggambaran di kilang Dutch Lady Malaysia dan rakaman di sebalik tabir serta menyentuh tentang kebaikan susu dan keperluan nutrisi yang berbeza mengikut peringkat umur kanak-kanak.

No comments:

Post a Comment