“SAYA terpaksa lupakan Dreamgirls. Bukan saja-saja tetapi segalanya demi konsert saya sendiri,” kata Ning Baizura tanpa dapat melindungi rasa terkilannya.
Namun ada apa Dreamgirls dengan Ning? Ning sebenarnya telah ditawarkan untuk terlibat dalam pementasan musim kedua yang cukup popular itu. Dia sepatutnya membawa watak Deena Jones.
Namun, kali ini Ning harus memilih hal yang paling atas dalam kerjayanya. Justeru, dia memilih untuk memberi fokus terhadap bidang nyanyian. Sementelah dia telah merancang sebuah konsert untuk peminat setianya.
“Tahun ini jadual kerja saya sudah penuh. Selepas album terbaru saya dilancarkan sekitar bulan ini, saya akan terbabit dengan persembahan di seluruh negara. Jadi, sukar untuk saya mencari masa bagi pementasan itu,” ujar Ning yang bakal muncul dengan album berjudul Dewa itu.
Walau bagaimanapun, untuk mengubat hati peminatnya yang hampa, penyanyi bersuara soprano ini akan beraksi di pentas Istana Budaya (IB) kerana terlibat dengan penganjuran Festival Muzik Kuala Lumpur 2011 pada Julai nanti.
Sempena festival itu, Ning akan mengadakan konsert solonya, Ning Live In Concert selama dua malam berturut-turut iaitu pada 1 dan 2 Julai.
“Untuk konsert di IB, saya dan pihak produksi telah mula berbincang tentang konsep yang ingin dipersembahkan. Saya menggambarkan, konsert itu bakal mencerminkan semua genre muzik yang ada dalam diri saya,”katanya yang telah menyenaraikan lebih 30 buah lagu untuk dipersembahkan namun belum muktamad.
Sementara itu mengulas mengenai album 3 Suara yang menggabungkan dirinya dengan Jaclyn Victor dan Shila Amzah, Ning menafikan mereka bertiga bersaing sesama sendiri.
“Kami tidak sesekali bersaing sesama sendiri untuk membuktikan siapa yang lebih baik, sebaliknya kami saling berkerjasama agar keharmonian dan keserasian dalam setiap lagu tercipta,” tutur spontan Ning.
Tutur Ning lagi, album istimewa 3 Suara tersebut telah berada di pasaran pada 6 Januari lalu. Antara lagu yang kerap dimainkan di corong radio ialah Di Mana Di Mana dan Beribu Sesalan.
Mengulas tentang penglibatannya dalam projek julung-julung kalinya itu, ketiga-tiga mereka menjelaskan berasa cukup bangga kerana terpilih untuk menjayakan album yang diterbitkan oleh Kelvin Chin dan Aylwin Santiago itu.
“Saya rasa kombinasi tiga suara ini amat menarik kerana masing-masing mempunyai suara yang berbeza. Masing-masing ada kekuatan sendiri.
“Saya punya suara soprano, Shila mempunyai suara yang merdu, manakala Jac punya suara yang lantang. Perbezaan inilah yang menjadikan album ini unik dan lain daripada yang lain,” ulas Ning.
Bagi Jac, mereka tidak menghadapi sebarang masalah kerana diberi kebebasan untuk menyanyi mengikut keselesaan sendiri.
Cuma cerita Jac, hanya timbul sedikit masalah ketika merakamkan lagu-lagu tersebut kerana masing-masing mempunyai komitmen lain.
“Walaupun Shila paling junior tapi saya dan Ning tidak pernah memandang rendah terhadap keupayaannya. Apa yang pasti, biarpun usianya muda tapi pengalaman yang dia (Shila) ada, tidak dapat dipertikaikan,” ujar Jac.
Shila pula memberitahu, ramai yang ‘cemburu’ dengannya kerana terpilih sebagai sebahagian daripada album 3 Suara ini.
“Bekerja dengan Ning dan Jac memang sesuatu yang mengagumkan. Saya percaya, album ini akan menarik lebih banyak peminat,” katanya.
No comments:
Post a Comment