KUALA LUMPUR: Selepas dua tahun sunyi tanpa album, kini penyanyi dari seberang, Rossa muncul dengan album baru, Harmoni: Jalinan Nada & Cerita.
Album yang memuatkan 14 buah lagu itu merupakan lagu-lagu kompilasi yang pernah popular serta dijadikan runut bunyi dalam filem dan drama yang antaranya lagu Tegar, Ayat-Ayat Cinta dan Hey Ladies.
Menurut Rossa, dia turut menampilkan sebanyak tiga buah lagu baru iaitu Memeluk Bulan, Jagad Khayalku dan Ku Menunggu, dan ketiga-tiga lagu tersebut merupakan hadiah buat peminat-peminatnya.
"Sebenarnya album ini diinspirasikan daripada filem kegemaran saya iaitu Notting Hill lakonan Julia Robert yang menampilkan lagu-lagu cinta popular.
"Justeru itu, saya pun nak kumpulkan kesemua lagu-lagu popular saya untuk disatukan dalam album ini.
"Bagaimanapun, tiga lagu baru yang dihasilkan pasti memikat hati para pendengar kerana konsep nyanyian yang pelbagai," katanya pada sidang media pelancaran album Harmoni:Jalinan Nada & Cerita di Restoran IlPrimo, di sini, Rabu.
Tambah Rossa, lagu Ku Menunggu yang dihasilkan dalam bentuk akustik itu mempunyai persamaan dengan lagu Ku Merindu, yang pernah dibawakan oleh Ella dan Shah. Ia menggunakan khidmat komposer yang sama iaitu Mery LC.
Bagaimanapun, penyanyi berusia 32 tahun itu berharap agar tiada sebarang kontroversi yang tercetus hanya kerana persamaan lagu yang dibawakannya.
"Walaupun melodi lagunya sama, lirik dan susunan lagu ternyata berbeza. Saya dapat tahu tentang persamaan ini selepas merakamkan lagu tersebut. Ternyata saya serta Ella dan Shah mempunyai cita rasa yang sama.
"Saya harap lagu ini tidak akan menimbulkan masalah. Lagipun ia seronok untuk dinikmati. Saya merakam lagu ini bukan mahu timbulkan masalah, sebaliknya mahu para pendengar serta peminat senang dan gembira dengan lagu itu," tuturnya.
No comments:
Post a Comment