Thursday, March 24, 2011

Norman, Memey enggan tertekan


TIDAK mahu lagi menoleh ke belakang mengenangkan ribut kontroversi yang pernah menggoncang kehidupan mereka, pasangan ini sebaliknya mengakui sedang bahagia dalam meniti episod cinta dengan tenang.

Selepas menamatkan spekulasi dengan mengikat tali pertunangan pada September tahun lalu, Norman Hakim, 34, dan Suhaiza Suhaimi, 22 atau Memey sudah pasti sedang giat merancang untuk hari bahagia mereka berdua.

“Persediaan betul-betul belum lagi, tetapi (sedang) menuju ke arah itu adalah sikit-sikit. Buat masa ini, kami masih belum tetapkan masa dan tarikh yang sesuai untuk melangsungkan perkahwinan.

“Bila sudah betul-betul bersedia dan semua persiapan sudah lengkap, kami akan beritahu tarikh tersebut,” ujarnya sambil melemparkan senyuman.

Meneruskan bicara, Memey meluahkan ada sebab kenapa dia dan Norman enggan meletakkan sebarang tarikh atau tempoh masa untuk melangsungkan perkahwinan mereka.

“Bila sudah letak tarikh atau tempoh masa untuk ke arah itu (berkahwin) dan akhirnya ia tidak berlaku, orang pasti akan bertanya. Jadi, lebih baik kami tidak berbuat demikian.

“Saya tidak mahu nanti ia akan jadi isu dan buah mulut orang. Kami akan memberi pengesahan tarikh selepas semuanya sudah betul-betul pasti,” ujar pelakon kelahiran Johor itu.

Bukan tidak mahu hari bahagia itu menjelma dengan kadar segera, tetapi Memey mahu membuat persiapan yang kemas dan rapi untuk dirinya sendiri sebelum bergelar isteri.

Tambahnya, dia perlu mempersiapkan diri 100 peratus sebelum bergelar raja sehari.

“Banyak persediaan yang perlu dilakukan. Bukan hanya luaran, tetapi dalaman diri saya untuk bergelar isteri juga perlu diambil kira. Selepas semuanya okey, barulah akan ke tahap itu (berkahwin).

“Secara jujurnya, saya juga belum lagi memikirkan konsep serta tema perkahwinan secara terperinci. Saya tidak mengharapkan perkahwinan kami akan menjadi Wedding of the Year.

“Biarlah ia meriah dan sederhana kerana apa yang paling penting ialah ikatan yang sah itu sendiri,” katanya yang mengenakan busana rekaan Hazwani Osman pada malam gala Rafflesia dan Mandalay di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Apabila diajukan soalan mengenai kontroversi lampau, Memey yang pada mulanya hanya tersenyum dan diam seketika ibarat sedang mengumpul semangat untuk memulakan bicara.

“Buat masa ini alhamdulilah. Semua berjalan dengan baik. Saya tidak mahu lagi memandang ke belakang. Saya juga akui karier saya bertambah baik.

“Perjalanan hidup semakin tenang dan apabila sudah termeterai ikatan, saya harap semuanya akan bertambah baik dan sempurna,” luahnya yang akan meletakkan karier di tangga kedua kerana mahu fokus kepada keluarga.

Selepas agak lama berdiam diri dan hanya tersenyum mendengar bicara si jantung hatinya itu, Norman akhirnya bersuara menjelaskan situasi tentang isu persandingan mereka.

“Sebelum-sebelum ini menjelang pertemuan dengan media, daripada 10 soalan, satu soalan akan menjurus kepada benda yang sama (berkahwin) terutama selepas kami telah selamat bertunang.

“Kami pun faham dan reda, malah sudah tetapkan minda kami bahawa soalan sedemikian akan kerap ditanya. Kami tidak mahu terlalu tertekan dengan sentimen bila akan berkahwin.

“Jujurnya kami seperti orang lain juga mahukan privasi, tetapi pada masa yang sama, saya tahu ia sudah menjadi rencah artis. Perkara sudah termaktub dan bila sampai jodoh, kahwinlah kami,” jelasnya tanpa berselindung.

Mengenai karier Memey selepas bergelar isteri, Norman mengakui dia seorang yang fleksibel dan tidak akan menyekat kehendak bakal isterinya itu.

“Dia sudah besar panjang. Semuanya bergantung kepada kesesuaian dan keserasian. Bila sampai masa nanti, dia sendiri boleh fikir dan perkara itu akan lahir secara sendiri,” luahnya yang kelihatan segak mengenakan persalinan rekaan butik terkenal, Lord’s Tailor.

No comments:

Post a Comment