EIRA SYAZIRA, si gadis lemah lembut yang kini tidak putus rezeki menjadi dramatis memberitahu, dia lebih suka bercerita mengenai karier berbanding kisah cintanya bersama pelakon Azad Jazmin. Dia mengaku bercinta, namun kata Eira, untuk beberapa waktu terdekat ini, dia belum punya apa-apa perancangan untuk menamatkan zaman bujang. Selebihnya, Eira tidak berani untuk bercakap banyak.
Namun, dia menjadi ceria apabila ditanya tentang perkembangan karier. Terutama tentang trademark ‘minah air mata’ buat dirinya yang sudah sinonim. Eira tersenyum saat diajukan soalan itu, malah dia agak bersetuju apabila diberi jolokan seperti itu.
Bagi Eira atau nama sebenarnya Syazira Shuhaimi, mengalirkan air mata semasa bersandiwara di hadapan lensa kamera bukan perkara mudah untuk dilakukan oleh seorang pelakon kerana ia memerlukan mereka menghayati watak yang diberi dengan mendalam.
Benar, ia bukan mudah. Tetapi bagi Eira, dia sudah terbiasa dengan watak sedemikian. Malah akuinya, selepas 10 tahun menjadi pelakon, dia menerima baik jolokan dramatis air mata yang diberikan kepadanya oleh para peminat.
Sementelah katanya lagi, memang banyak penerbit dan pengarah memberi kepercayaan kepadanya untuk memainkan watak seperti gadis teraniaya dan memerlukan dia bermain dengan emosi sehingga mengalirkan air mata.
“Sebenarnya penerbit dan pengarah drama kini sering menawarkan Eira watak sebegitu kerana kata mereka Eira telah sinonim dengan babak-babak air mata.
“Selain itu, peminat-peminat Eira juga sangat meminati lakonan Eira apabila tampil dengan watak mengalirkan air mata. Mereka juga terasa kesedihan itu dan turut menangis apabila menonton lakonan Eira,” ujarnya yang mengatakan dia ada bertanyakan pendapat peminat melalui laman web sosial Facebook dan Twitter miliknya.
Biar selesa dengan watak air mata, jauh di lubuk hatinya, Eira menyimpan hasrat untuk keluar daripada kepompong air mata. Sebaliknya dia teringan mencuba karakter antagonis bagi menguji kemampuan diri sebagai pelakon sejati.
Menyanyi
Bagi penonton setia drama slot Akasia yang bersiaran di TV3, pastinya mereka sudah mendengar suara aktres ini menyanyikan lagu tema drama lakonannya Cinta Balqis yang berjudul Istana Cinta tidak lama dahulu.
Mahu bergelar sebagai seorang penyanyi dan pelakon, Eira mengambil satu langkah baru di dalam penglibatannya di dalam bidang seni dengan menerima tawaran pihak FG Music (FGM) untuk menerbitkan sebuah album.
“Alhamdulillah, Eira diberi kepercayaan oleh FGM untuk merakamkan album dan Eira ambil ia sebagai satu cabaran dalam karier untuk bergelar anak seni.
“Memang ia bukan perkara mudah untuk bergelar penyanyi yang baik. Eira mahu serius dalam bidang nyanyian sebagaimana kejayaan yang telah dikecapi di dalam bidang lakonan,” jelasnya lagi yang mana album tersebut akan memuatkan lima buah lagu.
Tambahnya lagi, album itu akan diedarkan oleh Sony Music dan mengenai pelancaran album tersebut mungkin akan ditunda kerana kekurangan masa dan keadaan dirinya yang sibuk dengan jadual penggambaran.
“Eira mahu bergelar sebagai penyanyi dan pelakon sebagaimana artis dari negara jiran, Indonesia. Ada antara mereka yang merupakan seorang penyanyi dan pelakon yang baik. Bukan mudah untuk mengecapi kejayaan, tapi Eira akan berusaha keras untuk menuju ke arah itu,” tuturnya yang mengambil aktres dan penyanyi jelita, Agnes Monica sebagai contoh bagi dirinya.
“Jika mahu berjaya harus mulakan dari bawah sebagaimana Eira terlibat dalam lakonan dahulu. Ia pastinya akan mengambil masa untuk ubah dari pelakon bergelar penyanyi.
“Untuk itu, Eira mengambil kelas vokal bersama Cikgu Siti Hajar untuk mempelajari tentang seni vokal dengan lebih mendalam,” tambahnya yang juga mengatakan album percubaan sulungnya sebagai penyanyi akan dilancarkan pada April ini.
No comments:
Post a Comment