Masing-masing berbeza jagat. Lat, kartunis yang diangkat sebagai wira budaya hasil kartun-kartunnya yang merentasi benua. Awie, ikon rock yang sayapnya sentiasa berkembang dan masih teguh bersama Wings manakala Mamat, sutradara prolifik yang semakin berhantu dengan filem-filemnya.
Mereka disatukan atas keserasian yang saling berkait, meresap dan menyerap. Mamat dan Lat, dua beradik pengkarya dalam dua jalur seni berbeza manakala Awie, pula secara tidak sedar telah lama masuk ke dunia Lat, menerusi Mamat. Di bahunya kini, Awie mendukung karakter Lat, watak sebenar dalam pengkisahan terhadap legenda yang masih hidup menerusi Lat Kampung Boy Sebuah Muzikal (LKBSM).
Pementasan LKBSM tersirat satu penghargaan untuk Datuk Mohammad Nor Khalid atau Lat. Ia kini berkampung di Panggung Sari bermula 16 Mac hingga 2 April. Teater itu adalah dimensi baru kepada Lat yang selama ini hanya dikenali menerusi lakaran hitam putih.
Tangan bercakap
Secara terbuka Awie mengakui kurang mengikuti Lat tetapi dia kagum dan hormat terhadap figura yang digelar ikon Malaysia itu. Dalam fikiran Awie sekarang, hanya satu berlegar-legar, dia harus menggandakan imaginasi menjadi Lat 'kuasa dua.'
"Lat seorang yang bercakap menggunakan tangan, sebab dia pelukis tetapi bila dipentaskan, pergerakan saya akan menjadi besar, itu yang saya maksudkan," ujar Awie yang semakin lancar dialek Perak.
Beruntungnya Awie, dia mempunyai akses pintu belakang untuk mengenali sisi Lat yang mungkin tidak diketahui umum. Pintu itu adalah Mamat, pengarah yang tidak puas-puas menggali rahsia hero yang masih terperosok dalam dirinya.
"Mamat tidak beri nasihat tetapi dia hanya menyampaikan pandangannya apabila diminta. Bagi saya, Mamat dan Lat ialah dua individu yang sama cuma Lat, seorang yang lembut gaya pertuturannya manakala Mamat, seorang yang keras dan lebih lantang. Karakter cara mereka berjalan, sama. Mereka memang kelakar," debar Awie menggulung perasaan.
Awie ingin lari daripada tawaran Hans dan Harith, tetapi terdetik bahawa dia akan kerugian jika peluang melakonkan watak legenda itu dipersiakan.
"Saya ingin berehat daripada muzikal, tapi alangkah ruginya jika ditolak. Sekarang, saya bangga! Sedangkan orang luar boleh memuja Lat, kenapa tidak kita semua," katanya yang melihat Lat sebagai lelaki yang tahu apa kehendaknya.
Jelas Awie: "Usaha Lat melalui kedegilan, kemudian barulah datangnya duit."
Lat tunggu kejutan
Kata Lat dalam satu artikel pada tahun 2007: "Jika ini pekerjaan namanya, sepatutnya saya sudah bersara sekarang, tetapi saya masih melukis. Bagi saya, ini bukan pekerjaan, tetapi sesuatu yang diharapkan daripada saya."
Sebab itulah, ketika usianya genap 60 tahun pada 5 Mac lalu, kartunis itu masih mengepit pad lakarannya ke mana sahaja dia berada.
Sedikit serius kemudian boleh bertukar ceria seperti boleh dipetik dengan jari, senyum Lat mengingatkan karakter-karakter unik dalam kartun lukisan beliau.
"Saya beri sepenuh kebebasan kepada Awie untuk bermain watak saya. Saya tiada komen, bagi saya dia pelakon. Tidak ada kekangan tertentu, bagi saya ini satu penghargaan produksi berkenaan kepada dunia seni lukis kartun di Malaysia.
"Cuma, saya mahu tengok kejutan yang akan Awie berikan. Kalau silap atau ada yang tidak kena, dia akan dapat kritikan, bukan saya," katanya.
Lat tersenyum sambil memandang Awie sebelum bernostalgik terhadap zaman awal memulakan kerja sebagai kartunis.
"Saya harap masyarakat akan dapat lihat peringkat demi peringkat bagaimana kecenderungan itu bermula sehingga saya menjadi pelukis dalam penerbitan atau editorial kartunis.
Kartunis pertama
"Pada zaman itu, perkataan itu masih asing. Perkataan kartunis pun tak ada lagi.
"Ketika di tingkatan empat, cita-cita saya mahu menjadi pelukis yang menerbitkan filem kartun Malaysia yang pertama. Bila dah jadi orang bujang, saya buat komik The Kampung Boy, itu kira dah berjaya, kemudian saya ke Amerika Syarikat (AS). Bila berada jauh, saya tak rindukan Kuala Lumpur (KL) padahal ketika itu KL saya yang punya, sebaliknya saya rindukan kampung. Bila saya balik, masa itulah bermulanya pula zaman populariti, sesuatu yang saya tidak terima," katanya yang sedang menyiapkan projek siri animasi The Kampung Boy versi tiga dimensi (3D).
Lat berharap LKBSM memberi sudut pandang yang boleh menjentik sesuatu yang berbeza, antara minat dan tugasan begitu juga antara harapan dan impak sesebuah karya di mata masyarakat.
Ada kekesalan bersarang daripada hela nafas sutradara terkenal ini. Kata Mamat, dia tidak pernah membesar di Kampung Lalang Kota Baru, Gopeng, Perak. Kampung yang diangkat melalui karya abangnya, Lat. Sebaliknya, dia membesar sebagai anak pekan, dengan suasana hiruk pikuk Ipoh dan sewaktu itu Lat sudah merantau ke kota untuk mencari ilmu dan pengalaman.
"Jujurnya, saya melihat teater ini sebagai sebuah penceritaan kampung di Malaysia daripada kaca mata budak bandar. Jadi tidak boleh dipersoalkan tentang ketulenan teater ini," senyum Mamat, seorang teman buat Harith dan Hans.
Ulas Mamat, penglibatannya sangat kecil untuk teater yang mengangkat nama abangnya. Sekadar berbincang perihal penceritaan dan karakter dan selebihnya dia memberi ruang untuk 'Double H' itu berkarya.
"Berada dalam tangan yang betul, bisik hati saya," kata Mamat.
Ketawa besar
Ketawa besar apabila nama Awie disampaikan kepadanya sebagai bayangan Lat. Namun buat Mamat, Awie ialah pilihan yang sempurna untuk membawa watak abang sulungnya.
"Awie orangnya adaptif, komited dan elemen-elemen yang ada pada dirinya akan menghebatkan teater ini. Saya sedar dia seorang pelakon yang bagus apabila saya hanya beri dia berkain pelikat dan bertuala dalam filem Zombie Kampung Pisang dan dia mahu. Pelakon lain, belum tentu. Itulah Awie," pujinya terhadap pelakon yang bakal muncul lagi dalam filem arahannya, Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit.
Kami bertanyakan hubungan dua beradik itu berikutan perbezaaan umur 13 tahun.
"Lat abang sulung dan saya adik bongsunya. Waktu dia sudah bekerja saya baru bersekolah. Kami seperti adik-beradik yang lain. Tetapi hakikatnya kesinambungan kami lebih intim daripada aspek minda berbanding fizikal.
"Dia abang yang bertanggungjawab menjadi kapten keluarga setelah bapa kami meninggal dunia. Saya banyak belajar tentang dia daripada karya-karya yang dihasilkannya kerana saya tidak hidup di kampung," susun Mamat bercerita.
"Saya dan abang saya, Rahman banyak diberikan piring hitam dan kaset oleh Lat sewaktu dia pulang bercuti di kampung. Bob Dylan, The Beatles itu semua pengaruh Lat. Budaya filem juga adalah hasil terapan dia," ujar Lat yang menganggap Rahman adalah abang yang paling kacak, kreatif dan kelakar berbanding yang lain.
Dia menganggap dirinya serpihan kecil Lat. Semua yang berlaku dalam hidupnya adalah sentuhan kasih dan perhatian seorang abang. Membesar dirinya sebagai sutradara kini juga adalah pengaruh yang datang tanpa sedar oleh Lat.
No comments:
Post a Comment