SEKALI lagi Fasha Sandha dihambat kontroversi. Terkini disebabkan penyebaran gambar berbikini di internet ketika bercuti di Bali, Indonesia tatkala sambutan tahun baru namun seperti biasa, aktres yang sinonim dengan watak wanita teraniaya itu lebih senang mendiamkan diri.
Akui Fasha atau nama sebenar Nur Fasha Sandha Hassan, 26, lebih baik dia mengunci mulut daripada memberi sebarang penjelasan kerana enggan membiarkan isu terbabit terus diperbesarkan hingga semakin melarat apatah lagi masyarakat luar tidak memahami situasi yang berlaku.
Memburukkan lagi keadaan apabila dia tidak muncul pada sebuah majlis yang turut menghimpunkan ramai selebriti baru-baru ini, tetapi hanya memaklumkan kepada penganjur pada saat akhir hingga mengakibatkan seorang pereka fesyen yang dipertanggungjawabkan menyediakan persalinan untuknya terpaksa menarik diri.
Menambahkan pula perisa kontroversi, desas-desus bertebaran menyatakan ada di antara anggota keluarga terdekatnya datang ke sebuah pejabat akhbar yang menyiarkan gambar pelakon drama bersiri Nastasha itu, bagaimana pun tujuannya tidak diketahui.
“Maaf tiada komen terhadap semua isu ini. Saya sudah fikir masak-masak untuk tidak mahu mengulas apa-apa. Cukuplah, selama ini pun sudah banyak kontroversi berlaku dan saya enggan memanjangkan perkara itu.
“Jika buka mulut pun, ia boleh timbulkan pelbagai lagi spekulasi, jadi lebih baik saya diam. Biarlah kalau orang luar mahu membuat sebarang andaian.
“Saya tidak ingin sebarang jawapan saya nanti disalah erti. Soal ada keluarga terdekat datang ke pejabat akhbar, itu pun saya enggan komen,” katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman lima finalis Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) di Holiday Villa Subang Hotel & Suites, Rabu lalu.
Mengenakan persalinan serba merah, aktres berkenaan berulang kali meminta maaf kerana tidak dapat memberi komen kepada setiap pertanyaan media walau pun selepas saja gambar berbikini itu dipaparkan, dia memaklumkan hanya akan menjawab persoalan pada majlis berkenaan, bukannya menerusi telefon.
Diaju sekali lagi mengenai tujuan anggota keluarganya mengunjungi pejabat akhbar berkaitan, Fasha berkata, dia sendiri tidak mengetahui sama ada mereka datang ke tempat seperti diperkatakan atau sebaliknya, malah tetap berterusan memberi penegasan enggan memberi sebarang ulasan.
“Saya tidak tahu apa-apa dan enggan memberikan cakap lebih lanjut. Paling penting keluarga dan peminat sentiasa berdiri di belakang saya memberikan sokongan.
“Malah saya tidak mahu kenang perkara yang sudah berlalu. Perkara terpenting adalah bagaimana mahu membalas jasa mereka (peminat),” katanya lagi.
Tetap dicalon dalam ABPBH2010
AKUI wanita cantik ini, berkat dorongan dan semangat peminat juga dirinya saban tahun masih disenaraikan sebagai finalis ABPBH dan tahun ini Fasha dicalonkan dalam kategori Pelakon TV Wanita Popular.
Kejayaannya pada anugerah yang bersandarkan undian peminat itu bermula sejak 2005 menerusi kategori TV dan bintangnya yang semakin bersinar melayakkan gadis berkenaan membolot trofi sama selain anugerah Pelakon Filem Wanita Popular bagi 2006 dan 2007.
Pada ABPBH2010, nama Fasha dicalonkan dalam kategori Pelakon TV Wanita Popular bersama-sama dengan Lisa Surihani, Noorkhiriah, Scha Alyahya dan Tiz Zaqyah.
Ternyata berdasarkan senarai itu, mereka ialah barisan nama yang tidak akan memberi laluan mudah kepada Fasha memenangi gelaran Pelakon TV Wanita Popular.
“Inilah ujian yang perlu saya hadapi sebaik saja menyandang gelaran artis. Ia sebenarnya asam garam kehidupan. Tumpuan saya kini hanya pada kerja selain keluarga dan perniagaan berkaitan salun yang bakal beroperasi Februari nanti,” katanya.
Memilih lokasi di Wangsa Walk, dalam kesibukan menjalani penggambaran drama bersiri Samson & Delaila, Fasha turut merancang strategi menubuhkan Cinta Hair Salon & Beauty yang dijangka dapat beroperasi pada 14 Februari ini.
“Buat masih ini premis yang akan dikendalikan empat kakitangan itu masih pada peringkat pengubahsuaian, malah saya sendiri akan mengambil kursus jangka pendek berkaitan penjagaan kecantikan dan rambut untuk memantapkan lagi pengetahuan dalam bidang ini,” ulasnya lagi dengan penuh semangat.
PROFIL
Nama: Nur Fasha Sandha Hassan
Tarikh Lahir: 28 Mac 1984
Tempat Lahir: Johor Bahru
Kerjaya: Pelakon dan Model
Filem: Black Maria, Bintang Hati, Berlari Ke Langit, SH3, Anak Mami Kembali, Gong, Bujang Senang, Nana Tanjung, Cinta, Cicak-Man, Cicakman 2 Planet Hitam, Badai Pasti Berlalu, Skrip 7707, Anak Halal, Evolusi KL Drift, Nana Tanjung 2, 4 Madu
Drama: Kasih, Relaku Pujuk, Songket Cinta Bertenun Duka, Natasha, Natasha 2, Dengan Nama Cinta, Rumah Itu Duniaku, Mentari Jingga, Usia, Seiras, Impak Maksima, Sutera Maya, Kehangatan Lantana, Chinta, Bagaikan Sumayyah
Iklan: Maybelline, Maxis, Petronas, Nokia, Fair&Lovely, Darlie, Pantene, Sunsilk (versi Indonesia)
Pengiktirafan: Pelakon TV Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2005 (ABPBH2005), Pelakon TV Wanita Popular dan Pelakon Filem Wanita Popular ABPBH20 06, Pelakon TV Wanita Popular serta Pelakon Filem Wanita Popular ABPBH 2007
No comments:
Post a Comment