KUALA LUMPUR: Penyanyi, Saida didakwa memfailkan permohonan untuk bercerai secara baik kerana sifat suaminya, Mohd Ghazali Yahya Zikri yang dikatakan tidak menghormati arwah bapa mertuanya yang meninggal dunia dua tahun lalu.
Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Mohd Ghazali semasa menghadiri prosiding sebutan kes perceraian mereka di hadapan Hakim Mahkamah Rendah Syariah di sini, Mohd Suhaily Rosdi pada Jumaat.
Bapa kepada Saida, Allahyarham Tarudin Ismail meninggal dunia pada 15 Februari 2009 akibat serangan jantung selepas empat hari dimasukkan ke Hospital Ampang Puteri, di sini.
Allahyarham mempunyai tujuh orang anak termasuk penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza.
Selain itu, Saida atau nama sebenarnya Siti Nursaida, 35, juga mendakwa sikap suaminya menyakitkan hati seperti mengongkong kerjayanya.
"Saya sebenarnya tidak mahu jadi begini. Saya ingin teruskan permohonan untuk bercerai," kata Saida yang diwakili oleh peguam syarie Noor Azlina Che Hasan.
Bagaimanapun, Mohd Ghazali, 40, yang merupakan seorang jurutera kaji bumi sebelum melibatkan diri dalam dunia perniagaan memberitahu, dia telah berubah sikap dalam usaha mahu menyelamatkan perkahwinan yang dibina sejak 15 tahun lalu.
"Saya masih sayangkan isteri dan kasihkan anak-anak saya. Saya tidak dapat hendak berbincang dari hati ke hati kerana berada dalam keadaan yang beremosi," kata Mohd Ghazali. Dia menambah, pelbagai usaha lain juga dilakukan termasuk menghadiri sesi kauseling secara sebelah pihak.
Mohd Suhaily bagaimanapun berpandangan sesi kauseling seharusnya melibatkan kedua-dua pihak untuk membolehkan kauselor terbabit menyelami masalah yang berlaku dalam sesuatu rumah tangga.
Pada prosiding sama, Mohd Suhaily juga menasihatkan Mohd Ghazali yang berhasrat untuk mengerjakan umrah supaya menyelesaikan masalah rumah tangganya terlebih dahulu.
"Ibadat memang digalakkan dalam Islam. Sekarang yang penting adalah selesaikan konflik. Sesuatu ibadat lebih afdal jika pihak-pihak tidak ada sengketa.
"Jika dibuat ibadat dalam hati yang tidak selesa, itu tidak elok kerana ia akan mempengaruhi ibadat kita," katanya.
Beliau juga menasihatkan Mohd Ghazali untuk menggunakan kebijaksaannya bagi mengambil semula hati isteri kerana pada pandangan beliau 'pasangan itu masih berbaik termasuk tinggal serumah'.
Pada prosiding sama, peguam syarie Amli Embong yang mewakili Mohd Ghazali memohon agar mahkamah mewujudkan satu jawatan kuasa pendamai yang berkemungkinan dapat memperbaiki hubungan tersebut.
Permohonan tersebut tidak dibantah oleh Saida, yang hadir di mahkamah bersama kakak iparnya, Rozie Abd Razak.
Justeru itu, Mohd Suhaily menetapkan supaya kes itu disebut semula pada 1 April depan untuk membolehkan kedua-dua pihak membawa wakil hakam (lelaki Islam yang tahu hukum agama) ke mahkamah. Saida dan Mohd Ghazali berkahwin pada 14 Disember 1996 di Kuala Lipis, Pahang dengan berwalikan bapa kandung.
Hasil perkongsian hidup, dia yang pernah mencuba nasib dalam rancangan realiti Akademi Fantasia dikurniakan empat orang anak, iaitu Siti Nurunnyssa, 14, Anas, 12, Khalid, 8, dan Siti Nurul Mashitah, 5 tahun.
No comments:
Post a Comment