Saturday, March 19, 2011

Anak penyatu Nana & Sein


PERCERAIAN selama tiga bulan akhirnya membuka pintu-pintu hikmah kepada pasangan Juara Sehati Berdansa musim ketiga, Sein dan Nana. Mereka melihat dari mata hati, tentang kegersangan hidup dan kekosongan jiwa masing-masing.

Tempoh tiga bulan perceraian bermula 8 Disember lalu merupakan ujian untuk menduga kebesaran cinta yang menyatukan mereka sehingga lahirnya dua zuriat comel, Syed Tamriz Al-Qudsy, 3, dan Sharifah Inaiya Al-Qudsy, 1.

Nana atau nama sebenarnya Noor Diyana Muhammad, 27, mengakui, anak-anak kecil yang baru hendak mengenal erti kasih itu antara sebab utama dia dan suaminya kembali bersama.

Pada 11 Mac (Jumaat) lalu, Nana bersama Sein atau nama sebenarnya Syed Hussein Syed Mustafa, 28, mengikat semula tali perkahwinan. Mereka rujuk secara rasmi di mahkamah yang sama tempat mereka bercerai tahun lalu.

"Syukurlah, kami telah pun rujuk semula. Sein mengemukakan perkara tersebut kepada saya dan saya bersetuju untuk hidup bersamanya semula. Saya masih lagi menyayanginya selain kerana anak-anak kami," jelas Nana yang semakin matang menilai erti hidup.

Pasangan tersebut berkahwin pada Julai 2006.

Barulah Nana sedar bagaimana rasanya berdepan kehilangan sesuatu yang amat berharga. Secara luarannya memang dia kelihatan kuat untuk hidup sendiri tanpa suami, tetapi perceraian tidak semudah yang disangka.

"Barulah kami sedar, bahawa kami memerlukan antara satu sama lain. Ada kalanya, kita ingat kita boleh lakukan sesuatu perkara itu sendirian, rupa-rupanya tidak," cerita Nana.

Sensasi Bintang: Selepas rujuk, apa perancangan yang diatur?

NANA: Kami akan mengadakan kenduri doa selamat April nanti. Selepas Sein memindahkan semua barangnya dari rumah sewa, hidup kami anak beranak akan kembali normal.

Bila kalian mula berbincang untuk rujuk?

Sejak Februari lagi. Setelah dibawa berbincang dan fikir masak-masak, saya setuju.

Sepanjang perceraian, bagaimana hubungan Nana dan Sein?

Kami tidak pernah putus berhubungan. Boleh dikatakan setiap hari kami akan berbual, kami memang rapat, kalau tak jumpa kami akan bercakap menerusi telefon. Masuk bulan kedua bercerai, saya dan Sein mula bercakap tentang rujuk. Sepanjang tujuh hari seminggu, hampir setiap hari kami akan berjumpa, Sein akan datang untuk jenguk anak-anak.

Siapa yang mulakan proses rujuk?

Sebenarnya sebelum Sein yang suarakan hasrat untuk rujuk, saya sendiri ada terfikir perkara yang sama tapi sekadar dalam diam sahaja. Tapi bila Sein dah suarakan hasrat, kami minta pandangan keluarga. Memang keluargalah yang paling gembira, mereka nak lihat kebahagiaan kami.

Mungkin ada iktibar yang boleh dikongsi?

Rasanya, dalam perkahwinan tak boleh ada sikap sambil lewa. Jangan ingat jadi ibu tunggal atau bapa tunggal itu senang. Fikir masak-masak sebelum buat keputusan mahu bercerai. Saya sendiri, kalaulah boleh, mahu sahaja saya putarkan masa sebelum bercerai dulu. Allah itu Maha Berkuasa. Dia mahu kami belajar dengan cara begini. Kalau tidak tahu tapi bila sudah berpisah barulah perasaan itu datang.

Selepas kembali jadi pasangan suami isteri, apa azam Nana?

Kita tidak boleh menentukan masa depan tetapi, saya kena selalu ingat untuk banyak bersabar, iman kena kuat, sabar dan sabar lagi. Sebelum ini, saya akui segala silap banyak datang daripada diri sendiri, saya tak cukup sabar. Rasanya sekarang saya kena belajar untuk lebih menghargai perkahwinan. Jangan nak terlalu gila-gila kerana perkahwinan bukan perkara main-main. Setakat ini saya sangat gembira, sebagai isteri dan ibu.

Bagaimana dengan isu orang ketiga yang dikatakan punca perpisahan dahulu?

Sebenarnya tiada orang ketiga. Cuma salah faham, saya dan Sein, dua-dua degil yang tak cukup sabar, darah muda barang kali, kahwin pada umur 22 dan 23 tahun bagaimanapun kami sama-sama besar dalam perkahwinan. Bila bercerai, kami jadi semakin matang, itulah, kahwin muda banyak dugaannya.

Apa ikrar kalian

Kami mahu tutup buku lama, buka buku baru, buangkan segala ego dan dendam.

No comments:

Post a Comment