Get widget

Friday, March 18, 2011

'Album Pertama Bagaikan Bayi' - Najwa Mahiaddin


PETALING JAYA: Kesibukan dengan pengajian di Berklee College of Music, Boston, Massachusetts, Amerika Syarikat, tidak menghalang penyanyi muzik soul, Najwa Mahiaddin, 25, untuk merealisasikan impiannya dengan melahirkan sebuah album sulungnya berjudul Innocent Soul.

Najwa berkata, keinginannya untuk memiliki sebuah album ditanam sejak berusia tujuh tahun lagi dan ia diibaratkan seperti bayi pertama dalam hidupnya sebagai seorang penyanyi.

"Album ini mengandungi sebanyak 10 buah lagu dan kesemua lagu yang dihasilkan merupakan koleksi lagu yang ditulis sejak saya berusia 16 tahun. Bagi saya, setiap lagu yang dihasilkan ibarat sebuah diari.

"Memandangkan muzik soul kurang diterima masyarakat tempatan, saya mahu mulakan dengan membawa muzik tersebut kepada pendengar tempatan agar ia akan diminati pada kemudian hari.

"Saya percaya jika Sheila Majid mampu popularkan muzik jazz kepada masyarakat Malaysia, jadi saya juga mahu lakukan seperti dia," katanya pada sidang media majlis pelancaran album Innocent Soul di Restoran Ecoba, di sini, Khamis.

Tambah Najwa, sebanyak 10 buah lagu Inggeris yang dimuatkan dan pembikinan album itu telah dibuat di Jakarta pada Ogos tahun lalu di mana penerbitnya merupakan salah seorang daripada kumpulan Indonesia, Maliq & D'Essentials, Widi Puradiredja.

Bagaimanapun, kata Najwa ketiadaan lagu-lagu Melayu disebabkan dia lebih selesa menulis lirik dalam bahasa Inggeris.

"Saya bukan riak, tetapi bila kurang berkebolehan menulis lirik dalam sesebuah bahasa, bunyinya akan kedengaran pelik sedikit.

"Seperti saya juga, penulisan lirik ditulis mengikut kemampuan diri. Bagaimanapun, saya akan hasilkan album bahasa Melayu pula pada masa akan datang," tuturnya.

Penerbit yang turut membantu dalam pembikinan Innocent Soul ialah Jason Voo, yang merupakan anak didik penerbit album popular, Roslan Aziz.

Antara lagu-lagu yang dimuatkan dalam album tersebut ialah Got To go, Innocent Soul, I've Got The..., Monday Blues, Sweet October, Go 'head, How Long Must i Wait, Jealousy, Ain't That A Shame dan Your Love.

Sementara itu, Najwa berkata, buat masa ini, dia belum terfikir untuk memasarkan album tersebut ke luar negara selain daripada negara Brunei dan Singapura.

Album Innocent Soul diterbitkan oleh Nada Biru Muzik Sdn Bhd dan diedarkan oleh warner Music Malaysia.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More