Get widget

Monday, March 14, 2011

Ana Raffali Bakal Berlakon Teater


PETALING JAYA: Penyanyi Ana Nur Hidayah Mohd Raffali (Ana Raffali) bakal melebarkan profil seninya ke bidang lakonan selepas dilamar oleh pengarah muzikal Kenangan Mengusik Jiwa iaitu Lokman Ghani sebagai pelakon utama muzikal itu.

Kata penyanyi Tolong Ingatkan Aku itu kepada mStar Online, minat dan keinginan untuk berlakon sebenarnya sudah lama terbuku di hatinya.

Namun, hasrat itu terpaksa dipendamkan sebelum ini ekoran kesibukannya dengan promosi album sulung iaitu Ketika Aku Kecil yang dipasarkan tahun lalu.

Justeru, apabila tawaran untuk membintangi muzikal tersebut menyusul pada waktu yang tepat, Ana terus sahaja bersetuju untuk menyahut cabaran baru itu.

"Sebenarnya memang sudah lama saya teringin untuk menceburi bidang lakonan. Sebelum ini pun abang Lokman Ghani pernah menawarkan saya untuk berlakon tetapi tidak berkesempatan kerana sibuk dengan promosi album.

"Apabila abang Lokman menawarkan peluang untuk berlakon dalam muzikal tersebut baru-baru ini, terus sahaja saya setuju. Kebetulan pula, jadual nyanyian saya tidak begitu padat buat masa ini," katanya.

Sementara itu, Lokman Ghani yang dihubungi berkata, Ana yang sememangnya menjadi pilihan pertamanya untuk watak utama KMJ sudah memberikan persetujuannya untuk terlibat dalam pementasan tersebut, dua hari lalu.

"Ana bersetuju untuk berlakon dalam muzikal KMJ dua hari yang lalu. Walaupun belum ada perjanjian bertulis tetapi secara lisannya, dia sudah bersetuju untuk terlibat.

"Sebelum ini pun, saya pernah mempelawa Ana untuk berlakon tetapi dia sibuk dengan jadual nyanyiannya.

"Mengikut perancangan awal, saya hanya ingin mengundang Ana dan Sohaimi Mior Hassan untuk mendendangkan lagu popular mereka iaitu Kalau Berpacaran sebagai persembahan pembukaan KMJ sahaja.

"Namun, selepas berfikir panjang, mengapa tidak saya undang mereka untuk berlakon sekali. Kedua-duanya bersetuju untuk terlibat kerana skrip muzikal ini ringkas dan mudah sahaja," katanya yang pernah mengarahkan muzikal Suzana 60an, Patung Kertas dan Teratak Minang sebelum ini.

KMJ yang dijangka turut membariskan Dafi, Saidah AF, Halil Chik, Iqbal Mazlan dan beberapa penyanyi 60an bakal dipentaskan bermula 27 Mei hingga 5 Jun depan di Istana Budaya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More