Get widget

Monday, February 14, 2011

Yasmin Hani Cuba Nasib Di Negeri Orang


KELINCAHAN pelakon dan pengacara genit Yasmin Hani atau nama sebenarnya Yasmin Hani Richardson membuatkan dirinya sentiasa aktif dan optimis dalam kehidupan seharian yang dilalui.

Tak kiralah dari segi kerjaya mahupun peribadi, wanita yang sudah pun mencecah usia 32 tahun itu masih lagi mempunyai pelbagai impian yang belum terlaksana. Seboleh-bolehnya anak kacukan Inggeris - Melayu ini mahu mengecap cita-cita itu semampu yang boleh.

Jelasnya, umur bukanlah penetap masa yang memberi had untuk seseorang individu itu melakukan sesuatu yang diimpikan.

Berdasarkan apa yang dilihat, Yasmin sudah cukup sempurna dan memiliki segala-galanya dalam karier walaupun populariti yang diraih tidaklah setanding dengan selebriti-selebriti lain.

Namun, jauh di sudut hati, perjalanan seni selama 12 tahun dalam industri hiburan tempatan masih lagi kelihatan seperti tidak stabil untuk dirinya.

“Saya mahu lebih dari apa yang saya ada sekarang. Bukan tamak, tapi saya mahu berkembang dan ingin memberi satu impak yang kuat kepada masyarakat.

“Sekurang-kurangnya saya dapat menerima pengiktirafan seperti pelakon serta hos terbaik dan bukannya hos atau pelakon cantik,” tuturnya.

Sambil wajahnya di solek oleh jurusolek profesional, Chomel, kata Yasmin, walaupun dirinya seperti berada di tengah-tengah populariti, wanita ini selesa dengan kedudukan itu.

Bagaimanapun, kegusaran di hati turut terasa apabila dirinya seperti gagal meloloskan diri daripada kepompong sama. Ertinya, karier lakonan mahupun pengacaraan seperti tidak berkembang daripada apa yang dilakukannya kini.

Justeru, selepas tamat kontrak dengan syarikat pengurusan Aquila Emas pada 19 Januari lalu, bekas pengacara Muzik @ Ria ini merancang semula arah tuju kariernya dengan melangkah ke negara seberang, Indonesia.

“Saya perlu berkembang dan menjadi sebuah aset. Saya tahu saya mampu pergi jauh, cuma lorongnya sahaja yang tidak ada.

“Memandangkan saya tidak lagi berada di bawah mana-mana pihak pengurusan, saya mula memasang strategi sendiri untuk mencuba nasib ke Indonesia. Kerana sebelum ini saya pernah mendapat tawaran berlakon sinetron di sana, cuma masanya tidak kena.

“Kali ini saya akan cuba masuk ke sana semula. Bukan kecewa dengan industri tempatan, tetapi saya tak sanggup menunggu untuk memperoleh kejayaan seperti yang diinginkan.

“Mana tahu jika ada rezeki, saya akan tinggal di sana demi memperkukuhkan semula kerjaya. Rezeki ada di mana-mana dan kita perlu cuba dan usaha walaupun berpuluh-puluh kali kita gagal,” tegasnya.

Sementara itu, selain perancangan semula karier lakonan, kata Yasmin dia juga ingin menyumbang masa dan tenaganya dalam aktiviti kebajikan masyarakat.

Baginya, ia juga salah satu cara untuk membantu masyarakat yang sedang kesusahan serta membantu kerajaan dalam menjayakan kempen-kempen yang diadakan.

“Jika ada masa, saya akan memberi ceramah di beberapa badan organisasi. Buat masa ini saya lebih fokus mengenai keburukan penggunaan beg plastik.

“Biasalah menjadi seorang selebriti, kita bukan sahaja setakat bekerja mencari rezeki dalam karier masing-masing, tetapi juga membuat kebajikan kerana masyarakat menjadikan kita sebagai seorang ikon,” katanya.

Sedia bergelar isteri

Bersyukur kerana memperoleh pelbagai pengalaman hasil daripada kerjaya yang dibina, Yasmin mengakui, dia berasa dirinya lebih matang dan yakin dengan setiap perkara yang dilakukannya.

Tidak lagi cepat melatah atau panas baran, wanita ini lebih bijak mengawal diri di kala emosinya terganggu.

“Mungkin kerana usia, pemikiran kita akan jadi lebih matang. Malah saya mampu mengawal situasi menjadi stabil apabila mental mahupun fizikal saya diganggu.

“Kalau nak tahu dulu saya seorang yang panas baran. Alhamdulillah mungkin kerana sejak dahulu lagi saya ingin perbaiki diri hari demi hari, ia juga sedikit sebanyak mematangkan saya.

“Malah ayah saya juga pernah berkata, pada usia 30 tahun ke atas adalah masa yang sesuai untuk kahwin kerana fikiran kita sudah matang,” selorohnya.

Lantas, wanita ini juga sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga dan enggan membuang masa untuk membina mahligai cinta dengan buah hatinya jika sampai masanya.

Menyentuh sedikit mengenai kisah cintanya pula, kata Yasmin, seorang lelaki yang sudah lama dikenalinya kini bertakhta di hati. Mereka sudah setahun bercinta.

Enggan mengesahkan nama kekasihnya, tetapi mungkin ada yang sudah tahu lelaki itu merupakan seorang duda dan turut terlibat dalam dunia hiburan.

Sambil memberi senyuman manis, Yasmin berkata dia dan pasangannya bersedia untuk menjadi suami isteri jika jodoh mereka sudah sampai waktunya.

“Sebenarnya saya dah lama kenal dia dan syukur alhamdulillah, perhubungan cinta kami berjalan dengan lancar.

“Saya pun tak sangka yang perhubungan kami hingga ke tahap ini. Itulah orang kata, tak kenal maka tak cinta. Bila saya kenal dan selami dirinya, baru saya sedar yang kami sebenarnya serasi.

“Kami juga ada berbincang mengenai masa depan perhubungan kami dan insya-Allah, saya dan dia sudah bersedia. Hanya tunggu masa sahaja,” ujarnya.

Tambah Yasmin, dia tahu, ada juga kata-kata nakal kononnya dia sedang bercinta dengan suami atau kekasih orang.

Sedih dengan khabar angin yang tidak benar itu. Yasmin memahami perit apabila kekasih seseorang itu dirampas kerana dia juga pernah melalui situasi begitu dan tidak mungkin berbuat perkara sedemikian.

“Sebelum ini saya pernah merasai bagaimana apabila kekasih kita dirampas dan tidak mungkin saya akan buat perkara yang sama. Saya sendiri tidak mahu teman lelaki saya juga dirampas orang,” tegasnya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More