Wednesday, February 16, 2011

Nazim Akui Kurang Serasi Dengan Ainul Aishah



PETALING JAYA:Pelakon Nazim Othman mengakui teruja apabila ditawarkan berlakon buat pertama kalinya sebagai pelakon utama dalam drama televisyen terbitan TV3 berjudul Begitukan Cinta.

Namun begitu, dia yang bergandingan dengan pelakon Ainul Aishah mengakui agak sukar mencari keserasian dengan pelakon itu kerana watak mereka dalam drama berkenaan berbeza berbanding hubungan baik di luar lokasi penggambaran.

“Saya dan Ainul sudah lama kenal jadi susah kami nak cari keserasian apabila berlakon dalam drama ini. Kami memang berkawan baik di luar, jadi bila perlu jadi diri orang lain ia sesuatu yang agak sukar.

“Kadang-kadang serasi dan ada kalanya tidak. Jadi kami terpaksa ambil masa untuk dapatkan keserasian,” katanya.

Bagaimanapun, Nazim menyifatkan Ainul sebagai pelakon yang baik dan komited dengan kerjanya.

Selain itu, jelas Nazim lakonannya dalam drama Begitukah Cinta slot Akasia merupakan langkah pertamanya untuk mencipta nama di stesen televisyen TV3.

“Sebelum ini saya banyak berlakon untuk drama-drama di stesen televisyen RTM dan Astro, bukan tidak dikenali tetapi kurang dikenali.

“Untuk tahun ini kalau boleh saya mahu seimbangkan wajah saya di semua stesen televisyen dan itu adalah strategi dan perancangan saya,” katanya.

Dalam drama tersebut Nazim memegang watak sebagai Nazril yang sanggup melakukan pelbagai perkara demi cintanya termasuk membuang keluarga.

Dia juga cuba keluar daripada kepompong kemewahan dan ingin hidup seperti orang kebiasaan yang lain apabila jatuh cinta terhadap seorang gadis kampung bernama Riana. Drama 24 episod ini sudah ditayangkan bermula 14 Februari.

Dalam pada itu, Nazim juga mengakui lebih selesa menerima tawaran berlakon drama berbanding filem.

“Saya tidak kisah jika rezeki saya hanya berlakon drama. Saya tidak terlalu mengejar untuk berlakon filem.

“Bagi saya yang penting ialah watak bukan drama atau filem. Lagi pula saya masih baru lagi dan perlu pengalaman banyak untuk berlakon filem,” katanya yang mengagumi lakonan pelakon Bront Palarae dan Shaheizy Sam.

Jelas Nazim, dia mahu kerjaya lakonannya meningkat berdasarkan produk yang dihasilkan bukan kerana kontroversi seperti sesetengah artis.

“Saya tidak suka orang bercakap tentang diri kita kerana kontroversi semata-mata. Ada juga di kalangan artis yang saya lihat terlalu terdesak dengan kontroversi untuk naik.

“Saya suka cara pelakon-pelakon seperti Bront Palarae dan Shaheizy Sam yang berjaya atas usaha mereka sendiri tanpa sebarang kontroversi,” katanya.

No comments:

Post a Comment