DALAM kelembutan yang terpancar pada wajahnya, siapa sangka gadis bernama Nur Fathia Abd Latiff (Fathia) ini sebenarnya seorang yang periang dan petah bercakap.
Ramai mengenali pelakon berusia 23 tahun ini menerusi drama ‘Hani’ yang sedang disiarkan di TV3 pada setiap Selasa, pukul 9 malam.
Drama tersebut mengisahkan tentang gadis bernama Hani yang menjadi buta selepas menjalani pembedahan akibat mengidap barah otak. Dalam drama itu, Hani menjadi pelajar sekolah yang sering menangis dan bersedih kerana tertekan dengan nasib yang menimpanya.
Demi merealisasikan watak Hani, Fathia terpaksa mengetepikan sikap ceria yang ada dalam dirinya.
“Terus-terang, saya susah nak menangis mungkin disebabkan karakter saya yang tak suka simpan masalah dan sentiasa ceria.
“Tetapi apabila perlu melakonkan watak sedih, secara automatik saya boleh hayati perasaan itu selain membayangkan bagaimana kehidupan saya yang buta seperti Hani kerana cerita ini berkisarkan tentang kisah benar.
“Lagu-lagu sedih seperti lagu tema Legenda Budak Setan juga membantu saya untuk menimbulkan perasaan sedih,” katanya kepada Mingguan mStar di rumahnya di Shah Alam, Selangor.
Atas inisiatif agar lakonannya lebih realistik, Fathia turut mengunjungi Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia di Brickfields, Kuala Lumpur untuk melihat pergerakan dan cara mereka berkomunikasi.
“Alhamdulillah selepas disiarkan beberapa episod, saya mendapat tahu drama Hani mendapat sambutan yang bagus,” ujar pelajar jurusan undang-undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam ini.
Tidak kaku
Lebih teruja, sepupu kepada pengacara Farrah Adeeba yang sebelum ini agak kaku di hadapan kamera semakin menunjukkan peningkatan dalam bidang lakonan.
Buktinya, banyak komen positif yang diterima daripada peminatnya di laman sembang Facebook ‘Nur Fathia Latiff’ yang diuruskan oleh pembantu peribadinya, Ezad Ibrahim.
“Walaupun peminat mengatakan lakonan saya semakin baik selepas setahun berlakon, saya masih tidak jemu untuk belajar memantapkan mutu lakonan saya.
“Saya juga seronok dan selesa bekerja dengan Heykal kerana dia memberikan kebebasan sepenuhnya untuk saya menjiwai watak tersebut.
“Bagaimanapun saya tidak mahu terus terikat dan digelar sebagai pelakon berwatak sedih sahaja. Saya mahukan variasi dan menjadi pelakon yang versatil kerana bimbang orang akan cepat jemu,” jelas anak sulung dari empat beradik itu lagi.
Sepanjang setahun berada dalam industri lakonan, wajah Fathia telah muncul dalam iklan komersial seperti Sunsilk, Nespray, Hotlink, Celcom dan Fair & Lovely, drama seperti ‘Joe dan Faridah’, ‘Nur Kasih’ dan ‘Musang Berjanggut’ serta filem ‘Hijab’.
Tunai impian keluarga
Biarpun sedang ghairah mengejar impian dalam bidang lakonan, Fathia tidak pernah melupakan pesanan ibu bapanya iaitu Badriyah Hassan dan Abd Latiff Mohd Tahir untuk menamatkan pengajiannya di universiti.
“Sekarang ini saya perlu tumpukan kepada pelajaran sehingga bulan Mei ini. Jadi banyak juga tawaran termasuk memegang watak utama yang terpaksa ditolak.
“Saya akan terima tawaran berlakon semasa cuti semester sahaja dan menjadikan karier lakonan hanyalah sekadar sambilan,” kata anak kelahiran Ayer Itam, Pulau Pinang ini.
Membuka cerita tentang populariti, sambil merendah diri Fathia akui dia tidak pernah mengidam untuk menjadi popular.
Malah dia akan berasa segan dan malu apabila ditegur kerana tidak menyangka dia mempunyai peminat.
“Saya ikhlas untuk ceburi bidang seni dan menjadikan karier ini untuk menampung duit poket saya.
“Apabila dapat duit lebih, saya akan membelanjakannya untuk membeli pakaian dan ke salun rambut.
“Saya gemarkan sesuatu yang baru dan mahu tampil muda dan sopan dengan imej ‘country fashion’,” ceritanya penuh teruja.
Semasa berborak dengan keluarga Fathia, bapanya membuka cerita yang anaknya itu pernah menghadiri pertandingan nyanyian tanpa pengetahuan keluarga.
Jelas sekali rupa-rupanya bakat nyanyian yang dimiliki oleh Fathia diwarisi daripada bapanya yang pernah menubuhkan kumpulan muzik sewaktu zaman remaja.
“Sebenarnya, saya lebih menyukai bidang nyanyian berbanding lakonan dan bercita-cita untuk bergelar seorang penyanyi.
“Tetapi ibu dan bapa tidak mengizinkan saya untuk serius dalam bidang seni sehingga saya menamatkan pelajaran di menara gading.
“Bagaimanapun cita-cita saya itu tidak berkubur begitu sahaja dan saya akan merealisasikan impian itu jika berpeluang selepas habis belajar nanti,” jelasnya yang turut bercita-cita untuk menubuhkan sebuah firma guaman dengan adiknya, Nur Farhana, 21, yang turut mengikuti pengajian dalam bidang yang sama.
Dua lagi adik Fathia adalah Nur Fasiha, 17, dan Muhammad Ilham, 14, yang turut menetap bersama keluarga.
No comments:
Post a Comment