Sunday, February 13, 2011

Nabila semakin popular


JIKA bertemu orang yang dikenali, pasti ketawanya mengilai, ada sahaja topik menggeletek hati. Secara alamiah, Nabila Huda Shuhaimi memang seorang yang gila-gila. Kepada sang pengamat yang mengikuti perjalanan populariti puteri sulung rockers ternama Amy Search itu, turun naiknya mudah dikesan.

Awalannya, Nabila banyak bersimbah pandangan kurang manis bahkan banyak gelaran negatif singgah ke pangkal namanya. Gadis liar antara kata nista yang acap benar dilemparkan ke mukanya. Penyudahnya, jalan hidup itu tidak pernah statik, setiap kekurangan berbalas kepuasan dan setiap kelat yang menular masuk ke paru-paru, ada kemanisan menunggu di pangkal jiwa.

Barangkali pernikahan dengan Zaidi Zailani pada 2 Disember 2008, menjadi titik fasa kedewasaan Nabila bermula. Bukan ditempa-tempa mengikut kemahuan pihak luar, dia akui, faktor usia juga menjadi penyumbang.

"Hidup saya dah penuh sekarang, sudah ada kehidupan sendiri. Tapi secara luaran, saya tetap Nabila yang ramai orang kenali. Di luar, di lokasi kerja, saya jadi orang lain, tetapi di rumah saya kena jadi lain. Saya membawa kerjaya dalam rumah. Di rumah, saya jadi wanita macam orang lain juga isteri dan ibu," katanya tanpa sedar dilihat berubah di kaca mata umum.

Karier jangan disentuh

Lucunya, pelakon yang lebih intim disapa Abil itu mengakui, ketika usianya menjangkau 27 tahun, barulah banyak sifat pemalu memasuki dirinya.

"Sebenarnya, saya sendiri tidak begitu perasan dengan perubahan itu dan saya masih ada 'gila' saya, cuma saya perasaan yang saya sudah menjadi seorang yang agak pemalu, mungkin sebab dah besar panjang.


"Jiwa saya dan suami masih remaja, kalau siapa-siapa yang setiap hari jumpa kami, mereka kenal siapa saya. Di rumah, saya dan suami tak buat diri kami macam 'kakak-kakak' atau 'abang-abang', kami gilakan anak kami, hiasan rumah dan pakaian kami semuanya bercirikan remaja. Kami ibu bapa moden yang penting rock!" celoteh ibu kepada Kheisya Laila itu rancak dalam selamba.

Penulis bertanyakan kepadanya, jika sedikit masa dahulu, ketika belum bergelar ibu, Abil juga seorang yang nakal, lasaknya mengalahkan lelaki, gila-gila pula sudah menjadi sifat tabie, bagaimana pula sekarang?

"Sekarang saya sudah perlahan. Zaman kenakalan saya sudah habis begitu juga perkara-perkara yang negatif. Saya dah banyak berubah. Cara berfikir juga sudah berubah, mungkin sudah sedikit matang.

"Jika hendak dibandingkan dengan zaman belasan tahun dan sekarang sudah 27 tahun, 'gila-gila' saya lebih rileks, katanya yang banyak berada di rumah sehabis waktu kerja.

Zaman melepak atau keluar bersama-sama teman-teman sudah tidak dihiraukan. Kepadanya, penat-lelah di lokasi penggambaran lebih baik diredakan oleh senyum dan keletah Kheisya, lapan bulan, yang sedang bugar di depan mata.

Hampir sepuluh tahun bergelar pelakon, Abil tidak pernah penat dengan kariernya. Pernah sekali dia merakamkan album, itu pun secara suka-suka, bagi Abil lakonan adalah perkara yang tidak boleh diusik oleh sesiapa, waima suami sendiri.

Kembali kepada bohsia

"Antara saya dan Zaidi, kami sudah cukup kenal antara satu sama lain. Dia tidak boleh masuk ke dalam dunia lakonan saya dan saya juga tidak masuk ke dunia pekerjaannya. Jika kami tidak kelihatan bersama di majlis-majlis hiburan, itu normal.

"Jadi saya tidak akan ambil hati jika dia tidak ambil peduli soal kerja saya sebab saya sendiri jenis yang tidak gemar memberi banyak penjelasan. Kalau orang lambat faham, nada suara akan cepat meninggi macam nak marah," jujur beritahunya yang kini sedang di lokasi penggambaran sekuel kedua filem Bohsia arahan Syamsul Yusuf, Bohsia Jalan Kembali.

Kembali sibuk dengan kerja lakonan, Abil kembali ke jalanan, menjejaki dunia bohsia yang pernah ditinggalkan dua tahun lalu. Meneruskan semula watak Tasha, bezanya, dalam sekuel kedua ini gadis bohsia itu lebih banyak berdepan konflik seperti pelacuran dan mula tercari-cari kiblat sebenar.

"Kali ini, Tasha dah jadi 'bohsia legenda' dah otai sangat," kata Abil.

Memberi kesinambungan kepada Bohsia Jangan Pilih Jalan Hitam, tidaklah semudah yang disangka. Paling sukar buat Nabila kerana dia seboleh-bolehnya menjauhi karakter yang pernah dilakonkan sebelum ini. Tawaran itu diambil sebagai cabaran untuk membuktikan kemampuan skil lakonnya.

"Bohsia yang pertama dulu sudah diterima baik, sekarang kena kembali fokus yang mencari elemen apa lagi yang harus saya berikan. Saya buat Bohsia yang pertama dulu ketika belum berkahwin, sekarang saya dah kahwin dan dah ada anak, macam manalah. Paling utama, saya kena kuruskan badan supaya betul-betul nampakkan karakter bohsia itu semula," ketawa juga yang menoktahkan ceritanya.

Masih berbaki sekurang-kurangnya 20 hari sebelum menamatkan filem pertama selepas melahirkan Kheisya, si ibu muda ini tidak duduk diam. Lapang dari lokasi filem, Abil turut mencuri kesempatan yang ada untuk mengacarakan sebuah siri baru berkonsepkan kewanitaan pelbagai budaya.

"Program itu sedikit berlainan, ia tentang penjagaan ibu-ibu yang baru selamat melahirkan anak tetapi digarap secara moden dan lebih santai. Sesuailah dengan stail saya," katanya yang sempat ke Melaka mengenal budaya pantang wanita Portugis sepanjang penggambaran.

Ujar Abil, kecenderungannya kini lebih kepada drama berbanding filem.

"Drama menyediakan ruang yang lebih puas untuk meluahkan emosi. Ya, Abil sendiri lebih dikenali menerusi drama berbanding filem," katanya.

Persoalan itu terungkai saat hatinya ditebak dengan sedikit usikan, tidakkah Abil tergolong dalam carta popular yang sedang asyik mengusung nama panas bahkan ada yang menjual wajah bukannya bakat.

"Dalam industri ini, semua benda yang hendak dijual harus ada muka yang boleh dijual. Sebenarnya saya sendiri tidak pedulikan semua itu sebab saya percaya, saya ada bakat. Saya tidak perlu terkejar-kejar ke arah itu," ucap pelakon drama Emily yang masih basah dalam ingatan penulis itu, berterus-terang.

No comments:

Post a Comment