MINGGUAN mStar kali ini mendedahkan rahsia kecantikan pelakon Izreen Azminda Mohd Aznam (Izreen), 26, yang menggunakan madu dan air gula untuk merawat kulit wajahnya.
Petua yang diperolehi daripada seorang rakannya itu dipercayai mampu mengekalkan awet muda dan menaikkan seri wajah.
Kata Izreen, dia menyapu madu pada muka setiap dua kali seminggu manakala air gula pula disapukan pada muka setiap pagi selepas bangun tidur.
“Saya mempunyai seorang kawan yang kelihatan seperti berusia 30-an tetapi sebenarnya berumur 50-an. Apabila saya bertanya rahsianya, dia menyuruh saya amalkan menyapu madu pada muka selama setengah hingga satu jam dan selepas itu basuh muka dengan air.
“Selain itu, saya selalu menyapu air gula yang dicampur dengan air suam sambil berselawat sebanyak tiga kali. Tunggu sehingga kering dan selepas itu basuh muka dengan air. Orang kata kalau kita nak buat orang suka dengan kita, amalkan petua ini. Insya-Allah, berkesan,” kata pelakon drama Isabella, Gelora Di Hati Sara 2, Nenek Kebaya dan Samson Delaila ini.
Bercerita lebih lanjut tentang petua kecantikan lain yang turut diamalkan oleh Izreen, dia juga menggunakan jamu Mustika Ratu untuk penjagaan dalaman.
Izreen berkata dia mula terdedah dengan jamu sejak bersekolah di tingkatan empat selepas membaca buku kecantikan.
“Saya makan jamu setiap hari sejak zaman remaja dan kesannya sangat bagus. Saya gemar mengamalkan petua tradisional dan kalau mempunyai masa lapang, saya akan membasuh muka dengan air beras,” ujarnya yang turut mengambilkan beberapa jenis vitamin setiap hari untuk memelihara tenaga.
Bagaimanapun, Izreen tetap tidak dapat mengelak daripada berlakunya masalah pada kulit muka pada waktu-waktu tertentu setiap bulan dan terdedah kepada pancaran lampu di set penggambaran.
Bagi mengurangkan berlakunya masalah kulit, gadis yang dibesarkan di Jitra, Kedah ini tidak putus menggunakan produk asas penjagaan kulit muka seperti pencuci muka, penyegar muka, pelembap muka dan krim pelindung cahaya matahari.
Produk-produk kecantikan yang dibelanjakan biasanya tidak melebihi RM500 dan boleh bertahan sehingga empat atau enam bulan.Dalam berhati-hati menggunakan produk kecantikan, dia pernah menjadi mangsa produk.
“Baru-baru ini, saya tersilap menggunakan satu produk dan secara tiba-tiba jerawat tumbuh dengan banyak pada muka seperti terkena demam campak.
“Pada dua tahun lepas, kulit muka saya tiba-tiba menjadi gelap seperti wanita dalam filem lama, Dayang Senandung kerana produk itu tidak sesuai dengan kulit saya,” ceritanya.
Tambahnya lagi: “Bukan sahaja silap guna produk, saya juga pernah tersilap memotong rambut yang pada asalnya mahukan potongan fringe (berjambul) tetapi akhirnya dipotong ala-ala seperti macam topi keledar.
“Sejak daripada itu, saya mula takut memotong rambut mengikut potongan fringe. Untuk menutup kelemahan itu, saya sanggup menyambung rambut palsu.”
Pelakon yang petah bercakap ini juga akui berkunjung ke salun kecantikan untuk melakukan rawatan muka sekali dalam sebulan mengikut kelapangan waktunya.
No comments:
Post a Comment