GANDINGAN lima sahabat ini untuk sesi fotografi muka depan Mingguan mStar kali ini agak unik kerana setiap mereka mempunyai kisah dan pengalaman sendiri menyambut Tahun Baru Cina.
Cindy, pemenang tempat kedua Miss World Malaysia 2008/2009 dan satu-satunya selebriti keturunan Cina untuk sesi fotografi kali ini berkata kesibukan bukanlah penghalang bagi dirinya menyambut Tahun Baru Cina di kampung halamannya yang terletak di Batu Pahat, Johor.
“Tak mungkin saya akan lepaskan ‘makan besar’ yang menjadi tradisi masyarakat Cina. Begitu juga budaya melawat rakan dan sanak-saudara,” katanya.
Pelakon sitkom Hello Mr Pao yang disiarkan di saluran NTV7 ini berkata hari ini pengertian Tahun Baru Cina di Malaysia telah berubah apabila ia turut diraikan masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama.
“Saya akan panggil kawan-kawan Melayu dan India saya datang ke rumah pada Tahun Baru Cina. Kalau tidak berkesempatan, kami berjumpa dan menyambutnya di luar beramai-ramai.
“Bagi saya, kemeriahan Tahun Baru Cina tidak hanya dirasai pada hari Tahun Baru Cina, tetapi dirasakan lebih awal dengan adanya temuramah dan sesi fotografi bersama rakan-rakan berlainan bangsa. Contohnya seperti hari ini,” katanya.
Tidak akan melepaskan peluang menikmati makanan kegemarannya iaitu Cantonese Spring Roll setiap kali menyambut Tahun baru Cina, Cindy berkata pertemuan dengan rakan-rakan akan mengeratkan hubungan sesama mereka dan secara tidak langsung membuatkan mereka mempelajari dan menghargai budaya dan agama lain.
Seperti mana sambutan Aidilfitri yang akan terasa lebih hangat dengan dendangan lagu-lagu evergreen, masyarakat Cina juga mempunyai lagu seumpama itu.
“Orang Cina pun ada lagu raya. Lagu yang paling saya suka bertajuk Cai Shen Dao yang bersifat klasik. Saya tak akan jemu mendengar lagu itu berulang kali,” katanya.
Tahun ini, Cindy sekali lagi akan pulang ke kampung untuk menyambut Tahun Baru Cina walaupun membuat persiapan pada saat-saat akhir.
No comments:
Post a Comment