PETALING JAYA: Pelakon Intan Ladyana mengakui belum terfikir untuk mendirikan rumah tangga atau mengikat tali pertunangan bersama kekasihnya pelakon Kamal Adli.
Malah menurut Intan, dia belum berkesempatan memperkenalkan kekasihnya itu kepada keluarga biarpun sudah dua tahun bercinta.
“Bukan saya tidak mahu bawa Kamal jumpa dengan keluarga tetapi kami tidak mempunyai masa yang betul-betul sesuai lagi. Kami masing-masing sibuk kerja dan sudah sebulan tidak berjumpa.
“Dalam tempoh setahun ini tiada apa-apa perancangan untuk mengikat hubungan ini ke arah yang lebih serius,” katanya.
Bagaimanapun, menurut Intan dia tidak menafikan keluarga tahu tentang hubungan mereka.
“Keluarga saya tahu hubungan kami, mereka ada juga bertanya tentang Kamal tetapi mereka tahu saya belum bersedia untuk berkahwin lagi.
“Mereka juga tidak pernah mendesak saya untuk berkahwin atau bertunang pada waktu ini,” jelasnya.
Tambahnya lagi, dia kini lebih menumpukan sepenuh perhatian kepada lakonannya.
Bercerita tentang perkembangan lakonannya, Intan yang sedang menjalani penggambaran filem Bina-Bini Ku Gengster ini mengakui lebih memilih watak.
“Saya mahu watak yang saya bawa boleh menimbulkan kesan kepada penonton. Kalau boleh juga ia biarlah berbeza.
“Saya tidak mementingkan drama atau filem apa yang akan saya lakonkan tetapi lebih kepada watak yang mereka tawarkan kepada saya,” katanya.
Tambah Intan, dia mahu penonton menilai bakat lakonan melalui karakter yang dibawanya dalam sesebuah cerita.
“Sehingga kini masih ada yang masih marah dengan saya kerana watak jahat dalam Jelatang. Ini bermakna watak jahat tersebut berkesan,” ujarnya yang kini dilantik sebagai duta baru bagi produk kosmetik Shurah.
No comments:
Post a Comment