Nas Adila atau mahu dikenali dengan panggilan Adila, tidak mahu mengaku kalah. Sebaliknya, gadis dari Johor Bahru ini sentiasa meletakkan keazaman yang tinggi untuk berada dalam kelompok artis terkenal tanah air.
Bukan glamor yang dikejar sebaliknya membuktikan bakat dan kemampuan yang dimiliki. Selain berusaha tampil bersama karya berkualiti seterusnya mengukir nama dalam dunia seni.
Sememangnya, nama Adila belum meninggalkan impak. Namanya pernah naik seketika dek kisah putus tunang dengan lelaki yang dikatakan kerabat diraja Kedah. Penyertaannya dalam Akademi Fantasia (AF7) sedikit sebanyak membuatkan namanya diingati kembali.
Tapi semuanya tidak kekal lama. Biarpun rezekinya untuk bersinar ke peringkat yang lebih membanggakan belum tiba, ia tidak sesekali mendorongnya mengundur diri.
"Memang kalau diikutkan tempoh berkenaan agak lama. Angka bukan menjadi ukuran buat seseorang. Bukan semua boleh berjaya dalam bidang seni dalam tempoh yang singkat dan begitu juga sebaliknya.
"Sebagai rakan saya tumpang gembira dengan kejayaan orang lain dalam bidang seni. Namun, dalam masa sama saya juga cemburu dengan kejayaan yang dirai beberapa bintang realiti seperti Aizat dan Hafiz.
"Mungkin ada di kalangan artis yang bernasib baik mampu mengukir nama dalam dunia seni dalam tempoh yang singkat. Namun, ada juga di kalangan mereka yang berada dalam industri lebih sedekad, namun tetap tidak berjaya. Walaupun sudah berusaha gigih dan mencuba pelbagai cara.
"Saya percaya rezeki ada di mana-mana. Mungkin belum ada tuah saya. Apa yang saya lakukan sekarang, terus berusaha lebih gigih dalam kerjaya. Saya tidak mahu terlalu mengharapkan apa-apa. Sedikitpun saya tidak pernah rasa menyesal memilih bidang ini walaupun kadangkala agak berputus asa dengan keadaan.
"Saya menganggap bidang seni sebagai kerjaya yang serius. Malah, saya nekad menghasilkan karya yang berkualiti pada masa akan datang," katanya.
Adila pernah muncul dengan dua album, Kekasih Kerinduan berkonsepkan tradisional dan Istana Janji. Perubahan genre lagu antara sebahagian transformasi yang dilakukannya.
Single terbarunya, Bidadari Syurga ciptaan Koha dan Jay dipetik dari album EP yang dilancarkan awal tahun lalu, sudah bertukar genre muzik. Lagu itu terarah kepada pop dance. Selain lagu itu, dua lagu lain yang dimuatkan ialah I Love You dan Maaf.
"Sebelum menyertai AF7 lagi ramai yang tahu saya sudah menyanyi. Malah, sebelum ini saya kerap menyanyikan lagu dengan rentak irama Malaysia. Begitupun penampilan bersama lagu yang berentak pop dan rancak ini bukan untuk mengelirukan peminat. Sebalik percubaan tampil dengan genre yang mudah diterima ramai.
"Memang saya akui tidak ramai dan cukup sukar untuk mendapatkan sokongan daripada pihak industri seperti stesen radio dan peminat muzik ketika tampil bersama lagu tradisional beberapa tahun lalu.
"Begitupun, ia bukan bermakna saya mengetepikan terus irama tradisional sebaliknya saya masih menyanyi beberapa lagu tradisional di mana-mana majlis atas permintaan peminat," kata Adila yang turut tampil sebagai teraju utama dalam filem romantik komedi, Hello arahan AR Badul.
Pengacara program Agro Challenge (Astro Prima) bersama Tauke Raja Lawak memaklumkan pembabitan dalam lakonan sebagai menimba pengalaman baru. Begitupun keutamaan masih dalam bidang nyanyian.
Sememangnya dia tidak terlalu memilih soal watak atau tawaran sebagai pengacara program jika berasakan ia bersesuaian dan kelapangan waktu.
Adila membawa watak Ida, adik kepada Dr Shafiq lakonan Fizo Omar dalam filem Hello. Karakter Ida yang manja namun tegas cukup sesuai dengan penampilannya.
Dalam masa sama, Ida seorang yang penyayang dan sangat ambil berat mengenai abangnya.
Mengulas pengalaman terbabit dalam lakonan, dia memaklumkan banyak perkara yang dipelajari ketika terbabit dalam penggambaran filem terbitan Nusanbakti Corporation Sdn Bhd itu.
"Tidak dinafikan minat dalam bidang lakonan semakin bertambah selepas terbabit dalam filem berkenaan. Berbeza dengan nyanyian lakonan memerlukan kesabaran yang tinggi. Memandang penggambaran membabitkan masa yang panjang.
"Disebabkan minat saya sanggup meluangkan masa di lokasi penggambaran. Buat masa ini, kebanyakan karakter yang ditawarkan kepada saya membabitkan penampilan biasa seperti gadis remaja, gadis kolej dan lemah lembut. Saya sentiasa menantikan watak yang lebih mencabar," katanya.
>PROFIL
NAMA SEBENAR: Nas Adila Mohd Dan
NAMA KOMERSIAL: Nas Adila
ASAL: Johor Bahru
UMUR: 24 tahun
TARIKH LAHIR: 20 September 1986
STATUS: Bujang
PROFESION: Penyanyi, pengacara dan pelakon
ALBUM: Kekasih Kerinduan (2004) dan Istana Janji (2006)
DRAMA: Intan Asmara, Cahaya Deepavali, Menantu 3 Rasa, program muzikal Krismas, Agro Challenge (pengacara)
FILEM: Jangan Pandang Belakang Congkak, Hello
No comments:
Post a Comment